Hutang 1MDB hampir RM50 bilion ditanggung kerajaan sejak 2018 – Anwar

Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menanggung hutang terbesar yang diwarisi daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah hampir RM50 bilion sejak 2018, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, hutang tersebut merangkumi komitmen dan faedah yang perlu dilangsaikan secara berterusan.

“Hutang pasaran 1MDB yang ditinggalkan kerajaan terdahulu merangkumi nilai prinsipal sebanyak RM34 bilion dan komitmen faedah sekitar RM17 bilion.

“Ini bermakna jumlah obligasi kewangan 1MDB melebihi RM50 bilion,” katanya ketika sesi Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut beliau, daripada jumlah RM42 bilion yang telah dibayar sejak 2018, hanya RM29 bilion dapat ditampung melalui hasil pemulihan aset 1MDB.

“Ini jelas menunjukkan bahawa usaha pemulihan aset tidak mencukupi untuk menampung komitmen pembayaran balik liabiliti 1MDB,” katanya.

Anwar menambah, baki RM13 bilion obligasi hutang perlu ditanggung menggunakan dana kerajaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa masih terdapat baki RM9 bilion yang perlu dibayar sehingga tahun 2039 bagi Sukuk Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN), merangkumi RM5 bilion prinsipal dan RM4 bilion faedah.

“Sedangkan baki hasil pemulihan aset yang tinggal hanyalah RM2 bilion dan ia tidak mencukupi untuk melunaskan komitmen IMTN tersebut,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai penyasaran subsidi petrol RON95 (BUDI95), Anwar berkata, terdapat pihak yang mencadangkan agar kerajaan mengikut nasihat Bank Dunia dengan menaikkan harga RON95 ke paras pasaran untuk semua pengguna.

“Bantuan tunai hanya diberikan kepada kumpulan tertentu, itu yang dicadangkan,” katanya.

Namun, beliau menegaskan kerajaan menolak cadangan tersebut kerana ia akan memberi implikasi besar kepada rakyat.

“Teori ekonomi seperti ini mengabaikan nasib berjuta rakyat, meningkatkan kos sara hidup dan menyumbang kepada inflasi,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Madani kekal dengan prinsip penyasaran subsidi bagi memastikan rakyat terbanyak terus dibantu, selain mengekang ketirisan kepada bukan warganegara dan sektor perniagaan.

“Lihat ketika subsidi ayam dan telur dihentikan, harga dan bekalan tetap stabil dan rakyat tidak terkesan,” katanya.

Dalam isu banjir, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atas usaha mereka di barisan hadapan.

“Mereka berada di barisan hadapan memastikan mangsa menerima perlindungan, bantuan dan kebajikan sewajarnya,” ujarnya.

Setakat ini, lebih 150 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan bagi menyediakan keperluan asas dan perlindungan kepada lebih 12,000 mangsa banjir.

Anwar berkata, agensi tindak balas kekal pada tahap kesiapsiagaan penuh dalam menghadapi gelombang Monsun Timur Laut seterusnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus memantau keadaan, termasuk kemungkinan banjir yang lebih teruk berbanding tahun lalu.

“Arahan telah dikeluarkan untuk menilai kerosakan dan mempercepat kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan bersedia memperuntukkan RM500 juta pada tahun hadapan bagi kerja-kerja baik pulih, khususnya membabitkan jalan, jambatan dan infrastruktur asas yang rosak akibat banjir.

“Ini merupakan sebahagian daripada komitmen untuk memastikan keperluan rakyat dipulihkan segera,” jelasnya.

Anwar turut memaklumkan bahawa Belanjawan 2026 akan memperkukuh lagi pengurusan bencana.

“NADMA menerima peruntukan RM460 juta, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membangunkan Sistem Amaran Awal (EWS) bagi memperkukuh kesiapsiagaan krisis,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga memperuntukkan RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), termasuk 12 projek baharu.

“Semua projek ini akan diteruskan mengikut jadual,” kata Perdana Menteri.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Malaysia menanggung hutang 1MDB hampir RM50 bilion sejak 2018
  • Hutang 1MDB termasuk nilai prinsipal RM34 bilion dan komitmen faedah sekitar RM17 bilion
  • Daripada RM42 bilion yang dibayar, hanya RM29 bilion ditampung melalui hasil pemulihan aset 1MDB
  • Baki RM13 bilion obligasi hutang perlu ditanggung menggunakan dana kerajaan
  • Kerajaan bersedia memperuntukkan RM500 juta untuk baik pulih infrastruktur rosak akibat banjir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!