mySalam bantu tingkat taraf hidup B40, salur manfaat tuntutan RM1.25 bilion sejak 2019

Fadillah (empat dari kanan) merasmikan Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Samariang, Kuching, Sarawak pada Sabtu.
Fadillah (empat dari kanan) merasmikan Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Samariang, Kuching, Sarawak pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40, mySalam meraikan bulan kemerdekaan dengan penganjuran Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Samariang, Kuching, Sarawak pada Sabtu.

Karnival berskala besar yang dihadiri hampir 3,000 pengunjung itu menjadi platform penting dalam menyemai semangat kebersamaan dan sokongan sosial, khususnya kepada komuniti di Bumi Kenyalang.

Ketua mySalam di Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Syuhaib Ithnin berkata, Karnival 3K itu bukan sahaja tentang memberi bantuan, tetapi perkongsian ilmu, akses dan peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara holistik.

Lawatan ke tapak pameran yang menampilkan pelbagai inisiatif untuk masyarakat.
Lawatan ke tapak pameran yang menampilkan pelbagai inisiatif untuk masyarakat.

“Ia mencerminkan usaha berterusan kami untuk menyokong visi Kerajaan Madani dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, celik kewangan dan sihat dari segi fizikal serta mental.

“Kami percaya bahawa perlindungan bukan sekadar sijil, tetapi satu bentuk sokongan sosial yang mampu mengubah kehidupan,” katanya pada majlis yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri II yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazalli; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful, Shahrul Azlan Shahriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed.

Karnival dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia dan Pejabat Parlimen Petra Jaya itu bertujuan untuk memastikan manfaat yang ditawarkan dapat disampaikan secara menyeluruh kepada kumpulan sasar.

Artikel Berkaitan:

Sejak pelaksanaan skim mySalam pada tahun 2019, GETB selaku pengurus skim mySalam telah menyalurkan manfaat tuntutan berjumlah RM1.25 bilion kepada seramai 1.74 juta individu.

Angka tersebut membuktikan komitmen berterusan dalam membantu rakyat yang memerlukan, khususnya golongan B40 yang menjadi sasaran utama skim berkenaan.

Program berteraskan rakyat anjuran mySalam dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia dan Pejabat Parlimen Petra Jaya itu berjaya menarik perhatian masyarakat setempat.
Program berteraskan rakyat anjuran mySalam dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia dan Pejabat Parlimen Petra Jaya itu berjaya menarik perhatian masyarakat setempat.

Selain manfaat tunai dan perlindungan kesihatan, skim itu turut menjadi pemangkin kepada kesedaran kewangan dan pengurusan risiko dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah.

Pada masa sama, Kerajaan Madani juga menyediakan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM30 kepada dua juta rakyat yang layak dengan jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM60 juta.

Dengan sasaran segmen yang sama, karnival tersebut dimanfaatkan untuk mempromosikan penebusan PTV sebagai langkah untuk perlindungan yang lebih lengkap.

Baucar boleh ditebus bermula 1 September ini untuk mendapatkan pelan perlindungan takaful yang sesuai merangkumi manfaat kematian sebagai nilai tambah kepada perlindungan mySalam sedia ada.

Saringan kesihatan percuma turut disediakan oleh Skim Peduli Kesihatan termasuk pemeriksaan asas dan ujian darah kepada pengunjung untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat dan menggalakkan pengesanan awal penyakit, terutamanya penyakit tidak berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan B40.

Dalam usaha menyemai nilai empati dan semangat solidariti dalam kalangan masyarakat, sebanyak 140 bakul makanan disumbangkan GETB, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Mydin Kuching kepada keluarga asnaf terpilih.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sukan rakyat, larian merdeka dan cabutan rezeki, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!