Kemenangan sulung Pas di Sabah: Refleksi perjuangan 60 tahun buahkan hasil

JIKA ditanya pada setiap dari ahli dan penyokong Pas, terutamanya dari negeri Sabah, tiada yang mampu diucapkan selain syukur yang tidak terhingga kepada ALLAH yang memberikan kemenangan kepada Pas di Sabah.
Melihat kepada video yang tular sejurus selepas keputusan diumumkan, tangisan Datuk Dr Aliakbar menggambarkan betapa kesyukuran yang tidak terhingga di sebalik menanggung tekanan kepada Pas yang ditanggung mereka sejak sekian lama.
Sesungguhnya, kemenangan sulung Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November lalu bukan sekadar kejayaan semasa, dan ia bukan juga kemenangan yang berlaku hasil usaha sehari-dua.
Ia adalah penutup sebuah perjalanan panjang dan pembuka kepada sebuah lembaran baharu dalam sejarah politik Sabah dan perjuangan Pas di negeri di bawah bayu ini.
Jika diteliti kembali naskhah sejarah yang merekodkan usaha menubuhkan Pas Sabah sejak tahun 1961, kita akan sedar bahawa perjalanan ini bukan mudah dan ringan.
Boleh dikatakan ianya bermula semenjak zaman Allahyarham Dr Burhanuddin al-Helmy. Ianya bermula ketika Pas sudah memikirkan tentang dakwah Islam ke Borneo sejak Tanah Melayu sendiri belum mencapai satu dekad kemerdekaan.
Pada ketika itu, Pas sudah melihat Sabah sebagai sebahagian nadi perjuangan umat dan negara dan kepentingan dakwah Islam untuk disebar luaskan ke setiap ceruk dan tempat.
Namun sudah menjadi sunnatullah, setiap perjuangan menyebarkan agama ini pasti akan menempuhi mehnah dan tribulasi. Begitu juga dengan usaha awal untuk menyebarluaskan perjuangan Pas yang menjadikan Islam sebagai dasarnya, ia tidak mudah seperti perjuangan lain.
Tahun 1961 hingga 1964 menyaksikan percubaan demi percubaan. Usul-usul dibawa ke Muktamar, perlembagaan dipinda, bahkan tokoh seperti Habib Omar Al-Sagaff cuba menghidupkan Pas Sabah.
Tetapi gerakan itu belum matang, sering terhenti kerana kekangan sumber, suasana politik dan kesukaran membina jaringan akar umbi.
Tidak terhenti di situ sahaja, dekad seterusnya menyaksikan gelombang turun naik. Ada surat yang dihantar dari Semporna meminta Pas dibuka; ada usaha tokoh-tokoh USNO dan aktivis tempatan yang mahukan Pas bertapak; ada juga mereka yang bersama seketika, lalu menghilang disebabkan tekanan politik ketika itu.
Tetapi semuanya itu adalah tapak serta batu-bata kecil yang mula dibina bagi membentuk bangunan yang kita lihat hari ini.
Titik kebangkitan sebenar perjuangan Pas bermula pada 1985–1986. Ia adalah detik paling besar yang tercatat dalam sejarah Pas Sabah.
Krisis politik Sabah membuka ruang baharu, dan Pas bijak mengambil ruang yang ada dengan memutuskan untuk mengembangkan sayap secara rasmi.
Tokoh-tokoh pusat seperti Haji Sattar Taha, Ustaz Nakhaie Ahmad, Mustafa Ali, Subky Latif, dan akhirnya Presiden Pas, Yusof Rawa sendiri turun ke Kota Kinabalu.
Akhirnya, sejarah rasmi Pas Sabah tercatat pada malam 19 Mei 1986, di Hotel Hyatt di suatu malam yang sunyi dalam buku sejarah, tetapi bergema besar dalam perjalanan perjuangan kita hari ini.
Di saat Pas tidak punya dana, pejabat atau jentera, muncul tokoh-tokoh anak tempatan yang kuat semangat dan jiwa Islam yang bangkit memikul amanah: Ramai tokoh bertungkus-lumus berjuang demi perjuangan Pas.
Mereka ini mungkin tidak dikenali oleh generasi hari ini bersungguh-sungguh menggerakkan tarbiyyah, asas kekuatan yang membina Pas.
Tokoh-tokoh ini membuka kawasan, menjelajah kampung-kampung ketika Pas Sabah hanyalah sebuah nama, bukan kekuatan politik. Rasanya tidak cukup ruang yang ada jika saya sebutkan nama mereka satu per satu.
Tanggal 31 Julai 1987, Pas Sabah akhirnya didaftarkan secara rasmi. Pusat Tarbiah Islamiah Sabah ditubuhkan, kawasan-kawasan mula dibuka, dan lahirlah generasi pelapis yang meneruskan obor perjuangan.
Hari ini, selepas lebih 60 tahun perjalanan yang terputus-putus, kemenangan sulung Pas Sabah dalam PRN 2025 adalah kemenangan hasil adunan ramuan pengorbanan mereka dan gerak kerja tersusun jentera oleh pimpinan terdahulu dan pada masa kini.
Ia haruslah dilihat dan diraikan sebagai kemenangan semua aktivis yang pernah memikul risalah pahit manis perjuangan Pas di bumi Sabah, bermula dari dahulu hingga sekarang.
Kemenangan ini membawa satu amanah besar: menjadikan Pas Sabah parti yang dipercayai rakyatnya. Harus diingat, ketika Pas dilihat sukar diterima rakyat Sabah pada mulanya, namun keputusan PRN memberikan jawapan sebaliknya oleh rakyat Sabah.
Sememangnya Pas diketahui tidak mempunyai dana yang besar untuk ditawarkan, pemilihan Dr Aliakbar adalah kerana kewibawaaan dan keterampilan beliau, hasil dari tarbiyah Pas.
Maka Pas tidak boleh mengulangi kesilapan parti lain yang jatuh kerana hilang integriti atau yang hanya dibina atas slogan tanpa kerja dan pelaksanaan.
Kemenangan ini mesti dipertahankan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan khidmat. Mesti diperluas bukan dengan slogan, tetapi dengan akhlak. Ia mesti disebarluaskan bukan dengan propaganda, tetapi dengan rekod kejujuran dan kestabilan.
Semoga kemenangan 29 November lalu menjadi tapak baharu untuk Pas Sabah melangkah sebagai parti yang stabil, berprinsip dan membawa masa depan yang lebih baik untuk rakyat negeri itu.
* Dr Mukhtaruddin Musa ialah Pengarah Urusan Yayasan Strategik Lestari (YSL)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
