Menang kerusi sulung di Sabah, Pas sindir Ketua DAPSY Kebangsaan

Ahmad Fadhli membuat hantaran di Facebook pada Isnin.
Ahmad Fadhli membuat hantaran di Facebook pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Pas menyindir Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Woo Kah Leong susulan kejayaan parti itu meraih kemenangan sulung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Kah Leong sebelum ini menasihatkan Pas supaya mengusahakan kerusi pertama di Sabah.

“Ketua DAPSY ini tempoh hari nasihatkan Pas supaya usahakan kerusi pertama di Sabah, dalam hantaran biadabnya yang menyertakan gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang diubah suai.

“Sekarang, ada lagi ke dia nak nasihat apa-apa?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Pas menyatakan harapan bahawa kemenangan Datuk Dr Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai akan meletakkan asas kukuh buat parti itu di Sabah pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyifatkan kemenangan sulung Pas di Sabah sebagai pencapaian yang sangat besar dalam perjuangan parti tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi serta jentera Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan Aliakbar, yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah.

Terdahulu, pada 20 November lalu, Ahmad Fadhli menyifatkan tindakan Kah Leong sebagai biadab susulan satu hantaran di Facebook yang memaparkan gambar Mursyidul Am Pas dalam keadaan terlantar di katil dan dipercayai telah diubah suai.

Menurut beliau, hantaran tersebut mencerminkan ketidakmampuan Kah Leong untuk berhujah secara intelektual apabila memilih menyerang peribadi tokoh veteran parti.

Artikel Berkaitan:

Tindakan Kah Leong turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pas yang menyifatkan perbuatan itu melampau serta tidak menghormati kepelbagaian masyarakat Sabah yang sering dilaungkan oleh DAP.

Sebelum ini, Kah Leong mendakwa bahawa Pas tidak diraikan dalam arena politik Sabah serta menuduh parti itu sebagai ekstrem, selain mendakwa tiada parti lain yang berani membentuk kerajaan negeri bersama Pas.

Ringkasan AI

  • Pas menyindir Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, susulan kejayaan Pas di Sabah
  • Ahmad Fadhli Shaari mempertikaikan nasihat Kah Leong kepada Pas mengenai usaha memenangi kerusi di Sabah
  • Pas meraih kemenangan sulung dalam PRN ke-17 Sabah, mencatat pencapaian besar bagi parti
  • Kah Leong sebelumnya mengkritik Pas dengan menghantar gambar Mursyidul Am Pas yang diubah suai
  • Tindakan Kah Leong menimbulkan kemarahan pemimpin dan penyokong Pas, dianggap melampau dan tidak menghormati kepelbagaian masyarakat Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!