Salah faham punca kanak-kanak 2 tahun tertinggal di hadapan restoran

RAUB – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang tertinggal di hadapan sebuah restoran di sini pada Isnin telah diambil semula oleh ahli keluarganya.
Polis Daerah Raub dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya berjaya menghubungi keluarga kanak-kanak terbabit.
“Keluarga berkenaan hadir di Balai Polis Raub pada jam 4 petang untuk mengambil semula kanak-kanak itu,” katanya pada malam Isnin.
Menurut hantaran tersebut, siasatan mendapati keluarga kanak-kanak terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Tersan, Dong dan singgah di restoran tersebut sekitar jam 12 tengah hari untuk menyelesaikan urusan di kawasan terbabit.
“Selesai makan, keluarga itu kembali berpecah ke dua kenderaan dan berlaku salah faham antara mereka sehingga ibu bapa mangsa menyangka anak mereka bersama kakak si ibu yang menaiki kenderaan satu lagi.
“Ketika tiba di Kuala Lumpur barulah si ibu bertanyakan kepada kakaknya mengenai keberadaan anaknya dan ketika itu barulah mereka sedar kanak-kanak terbabit sebenarnya tertinggal di Raub,” katanya.
Sebelum itu, seorang lelaki menjumpai kanak-kanak tersebut selepas melihatnya berkeliaran di kawasan tempat letak kereta restoran.
Difahamkan, lelaki berkenaan menunggu lebih kurang 45 minit, namun tiada waris yang muncul sebelum membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Raub.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan anak kecil, terutama ketika perjalanan jauh atau melibatkan lebih daripada satu kenderaan bagi mengelakkan insiden berisiko.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tertinggal di hadapan sebuah restoran di Raub
- Keluarga kanak-kanak tersebut telah mengambil semula anak mereka di Balai Polis Raub
- Keluarga tersebut dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Tersan, Dong
- Terdapat salah faham dalam pergerakan antara dua kenderaan keluarga yang menyebabkan anak itu tertinggal
- Polis menasihatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap pergerakan anak-anak ketika dalam perjalanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

