Mayat kanak-kanak lelaki jatuh longkang ditemui selepas dua jam

MASJID TANAH - [DIKEMAS KINI] Jasad seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Taman Bidara Permai pada Khamis ditemukan selepas lebih dua jam operasi pencarian dijalankan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa berusia 11 tahun itu ditemukan kira-kira 600 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.
Menurutnya, mangsa dijumpai pada jam 8.35 malam oleh anggota Pasukan Penyelam (PPDA) dari BBP Masjid Tanah dan Melaka Tengah.
“Komander operasi melaporkan mangsa berjaya ditemui oleh pasukan PPDA kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, panggilan kecemasan diterima pada jam 5.47 petang sebelum pasukan dari BBP Masjid Tanah dikerahkan ke lokasi.
Orang awam memaklumkan bahawa mangsa dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat sebelum hilang di bahagian longkang yang menghala ke kawasan tadahan.
Zulkhairani berkata, jasad mangsa tersangkut pada dahan pokok dan timbunan sampah yang menghalang tubuhnya daripada hanyut lebih jauh.
“Kami menggunakan kaedah rapid deployment approach berikutan paras air tinggi dan arus deras. Pencarian permukaan air perlu dilakukan segera bagi mengelakkan tubuh mangsa dibawa arus lebih jauh serta meluaskan radius pencarian.
“Operasi melibatkan lima pegawai dan 14 anggota, termasuk 10 anggota PPDA. Operasi tamat pada jam 10.14 malam,” katanya.
Ringkasan AI
- Mayat kanak-kanak lelaki jatuh longkang ditemui selepas dua jam
- Jasad seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan kira-kira 600 meter dari lokasi awal
- Mangsa dijumpai oleh Pasukan Penyelam dari BBP Masjid Tanah dan Melaka Tengah pada jam 8.35 malam
- Mangsa sah meninggal di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah
- Operasi pencarian melibatkan lima pegawai dan 14 anggota termasuk 10 dari Pasukan Penyelam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

