Suspek tikam ibu direman seminggu

Suspek direman tujuh hari. - Foto hiasan
Suspek direman tujuh hari. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA PILAH – Wanita yang didakwa menikam leher ibunya dengan pembuka tin dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, Johol, di sini pada malam Jumaat direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Mustafah Hussin berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tampin, Mohamad Redza Azhar Rezali bermula 21 hingga 27 Februari.

Bagaimanapun, katanya, proses reman berkenaan dijalankan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini selepas suspek diarahkan doktor untuk ditahan di wad.

"Suspek telah diarahkan doktor untuk ditahan di wad bagi pemeriksaan lanjut kerana keadaan kesihatannya yang dikatakan mengalami masalah mental, malah dikesan turut mengalami masalah kesihatan lain.

"Suspek ditahan kira-kira jam 8 malam tadi di rumah lokasi kejadian dan dia memang tidak ke mana-mana," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, buat masa ini polis masih belum dapat mengambil kenyataan daripada suspek kerana kenyataan yang diberikan tidak konsisten seolah-olah sedang berhalusinasi.

Tambahnya, suspek merupakan ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak, namun mereka tinggal berasingan.

Tambahnya lagi, suspek juga tidak bekerja dan difahamkan telah berpisah dengan suami kerana masalah mental yang dihadapi.

Mengulas mengenai keadaan mangsa, Mustafah berkata, warga emas berusia lingkungan 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Wanita di Kampung Segineh didakwa menikam leher ibunya dan direman tujuh hari
  • Reman dijalankan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah kerana suspek mempunyai masalah mental
  • Suspek adalah ibu tunggal dengan dua anak yang tinggal berasingan
  • Suspek tidak bekerja dan telah berpisah dengan suami akibat masalah mental
  • Mangsa berusia 80-an dan kini dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar Seremban

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!