Saman RM500: Mampukah kurangkan kemalangan?

Walaupun kadar saman naik tetapi kalau sikap masih di takuk lama, jalan raya tetap menjadi medan taruhan nyawa. Foto hiasan
Walaupun kadar saman naik tetapi kalau sikap masih di takuk lama, jalan raya tetap menjadi medan taruhan nyawa. Foto hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencadangkan agar had maksimum kompaun bagi kesalahan jalan raya dinaikkan daripada RM300 kepada RM500.

Walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu, namun pelaksanaan had baharu itu hanya bermula 1 Januari 2029 selepas tempoh peralihan lebih dua tahun.

Had RM500 tersebut bagaimanapun bukan kadar tetap bagi semua kesalahan, sebaliknya jumlah maksimum boleh dikenakan bergantung jenis kesalahan.

Langkah tegas itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membendung kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan. Peningkatan kompaun diharap menjadi peringatan kepada pengguna supaya lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan demi keselamatan bersama.

Cuma persoalannya, sejauh manakah kenaikan nilai kompaun mampu mengurangkan kemalangan jalan raya secara ketara?

Penguatkuasaan semata-mata tidak memadai tanpa kesedaran sivik dan sikap bertanggungjawab. Sebahagian pengguna jalan raya yang berulang kali melanggar undang-undang mungkin tidak takut kepada jumlah saman malah beranggapan risiko ditangkap juga masih rendah.

Lebih membimbangkan kesalahan serius seperti memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sukar dibendung melalui peningkatan kompaun semata-mata. Pemandu yang berada di bawah pengaruh bahan terlarang langsung tidak memikirkan risiko dikenakan saman ketika memulakan perjalanan, sedangkan tindakan mereka boleh meragut nyawa orang lain.

Selain itu isu warga asing yang memandu atau menunggang tanpa lesen sah juga perlu ditangani secara menyeluruh. Penguatkuasaan perlu memastikan golongan ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang termasuk melalui pemeriksaan dan pengesahan identiti.

Justeru, walaupun kenaikan kompaun wajar disambut baik, namun perhatian tidak seharusnya tertumpu kepada perkara itu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Walaupun kadar saman naik tetapi kalau sikap masih di takuk lama, jalan raya tetap menjadi medan taruhan nyawa. Jangan sampai RM500 hanya menjadi harga untuk membeli peluang melakukan kesalahan sekali lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!