Apabila hidupan liar jadi bahan hiburan

KES dua lelaki yang didakwa kerana menganiaya seekor beruk baru-baru ini tidak sekadar menimbulkan kemarahan, tetapi membuka perbincangan lebih luas tentang tahap kematangan masyarakat dalam memahami nilai kehidupan haiwan serta tanggungjawab moral manusia terhadap hidupan liar.
Dalam kes terbaharu ini, seekor beruk dipukul jelas bertujuan untuk hiburan atau sensasi. Respons pantas pihak berkuasa yang menahan dan mendakwa kedua-dua suspek merupakan langkah penting mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan sistem perundangan menangani penderaan haiwan.
Dalam kes tersebut, Muhamad Amirul Afiq didakwa dengan sengaja mendatangkan penganiayaan terhadap seekor beruk jantan dengan cara memukul dan menakut-nakutkannya di tepi sebuah rumah kosong kawasan Kampung Jembal, Bachok, Kelantan pada 1 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muhammad Khairul Aziman pula didakwa bersubahat dengan Muhamad Amirul Afiq di lokasi, masa serta tarikh serupa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 44(1)(a) akta sama.
Walaupun kes tersebut sudah didakwa di mahkamah, namun ia juga menimbulkan persoalan fundamental: mengapa penderaan seperti ini masih berlaku.
Salah satu punca utama ialah normalisasi penderaan haiwan dalam kehidupan seharian.
Beruk sering dilabel sebagai haiwan perosak, menyebabkan sesetengah individu beranggapan memukul atau memperlakukan mereka secara kasar tidak mendatangkan apa-apa kesalahan.
Sikap sambil lewa ini turut disokong oleh kurangnya pendidikan formal dan informal mengenai hak haiwan dan fungsi ekologi spesies seperti beruk, yang sebenarnya memainkan peranan penting dalam penyebaran benih hutan serta keseimbangan biodiversiti.
Platform media sosial pula menjadi pedang bermata dua. Di satu sisi, ia membantu membongkar kes penderaan dan mendesak tindakan pihak berkuasa.
Namun pada masa sama, ia juga menjadi ruang untuk menyebarkan kandungan eksploitasi haiwan bagi hiburan, sekali gus mendorong lebih ramai individu menghasilkan video penderaan demi meraih perhatian. Tanpa kawal selia dan polisi tegas daripada penyedia platform, trend memalukan ini berisiko berulang.
Dalam konteks penguatkuasaan, kes ini sekali lagi membuktikan bahawa tindakan hanya berlaku apabila kes menjadi tular. Situasi ini tidak mampan.
Perlu ada sistem aduan lebih berkesan, termasuk saluran melaporkan tanpa nama, penambahan pegawai penguat kuasa serta latihan khusus bagi mengenal pasti penderaan haiwan terutama melibatkan hidupan liar yang sukar dikesan kerana sering disembunyikan di premis persendirian.
Selain itu, kerjasama antara Perhilitan, badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan, pihak berkuasa tempatan dan masyarakat perlu dipertingkat.
Pendidikan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar perlu menekankan bahawa haiwan bukan sahaja makhluk hidup yang mampu merasai kesakitan, tetapi juga aset negara dalam menjaga ekosistem dan alam semula jadi.
Kes dua lelaki ini sebenarnya hanyalah satu episod dalam siri panjang penderaan haiwan di Malaysia.
Namun, ia harus dijadikan titik perubahan. Sebuah negara yang menghimpunkan kepelbagaian biodiversiti harus memimpin dengan contoh, bukan membiarkan penderaan menjadi kandungan hiburan.
* Juliana Rosdi ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
