Normalisasi budaya songsang lemahkan maruah, integriti moral Muslim - Mufti

Ahmad Fauwaz (gambar kecil) berkata, hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat. Foto: Bernama
Ahmad Fauwaz (gambar kecil) berkata, hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Normalisasi budaya songsang memberi kesan besar termasuk melemahkan maruah dan integriti moral seorang Muslim serta membuka ruang kepada pelbagai bentuk maksiat lain.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, amalan tersebut juga boleh menyebabkan hilangnya sifat malu dalam diri, selain mendorong kepada kecelaruan identiti dan keruntuhan nilai dalam kalangan generasi muda.

Ujarnya, amalan songsang menolak hikmah yang terkandung dalam kejadian manusia, malah merosakkan struktur semula jadi individu itu sendiri.

“Hubungan sejenis adalah penyimpangan daripada fitrah semula jadi dan boleh mengakibatkan kekeliruan identiti serta masalah psikososial dalam kalangan masyarakat.

“Perlu diingat bahawa kestabilan dan kemajuan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi, tetapi lebih utama pada kekuatan institusi kekeluargaan dan moral yang dipegang teguh oleh setiap rakyatnya,” katanya menerusi perkongsian Tinta Mufti di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur menjadi lokasi golongan lelaki songsang berkumpul dan menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Kegiatan tersebut terbongkar dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), hasil risikan selama dua minggu.

Operasi yang bermula pada jam 8 malam itu membawa kepada penahanan seramai 171 lelaki tempatan dan daripada jumlah itu, 17 merupakan penjawat awam termasuk guru.

Menurut Ahmad Fauwaz, beberapa langkah menyeluruh perlu diambil bagi membendung gejala tersebut termasuk memperkasakan fungsi institusi kekeluargaan sebagai benteng utama, serta memberikan pendidikan berasaskan ilmu dan kefahaman syariah yang mendalam.

Artikel Berkaitan:

“Usaha lain adalah melaksanakan penerangan agama secara bijaksana, berhikmah dan berkesan.

“Membina dasar-dasar negara yang selaras dengan tujuan syarak dalam memelihara agama menerusi aspek Maqasid al-Tadayyun dan membangunkan peradaban negara (Maqasid al-‘Umran),” ujarnya.

Tambah beliau, pendekatan lain ialah mewujudkan kerjasama erat antara ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa.

“Apabila masyarakat teguh berpandukan nilai agama yang sahih, negara akan menikmati keamanan, kemakmuran dan sentiasa berada dalam keberkatan ALLAH SWT.

“Justeru, pertahankanlah keamanan yang telah terbina ini dan janganlah ia diruntuhkan dengan budaya serta perilaku songsang yang tidak bermoral dan bercanggah dengan kelestarian manusia,” katanya.

Ringkasan AI

  • Normalisasi budaya songsang melemahkan maruah dan integriti moral Muslim serta membuka ruang kepada maksiat lain
  • Amalan songsang boleh menyebabkan hilangnya sifat malu, kecelaruan identiti, dan keruntuhan nilai generasi muda
  • Hubungan sejenis adalah penyimpangan dan boleh mengakibatkan masalah psikososial dalam masyarakat
  • Operasi serbuan di sebuah pusat spa di Chow Kit menahan 171 lelaki, termasuk 17 penjawat awam
  • Langkah memperkasakan institusi kekeluargaan, pendidikan syariah, penerangan agama, dan kerjasama masyarakat diperlukan untuk membendung gejala songsang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!