Malaysia beri penerangan kepada China mengenai perjanjian ART Malaysia-AS

Tengku Zafrul menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto: Bernama
Tengku Zafrul menjawab soalan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia telah menghantar satu delegasi ke China untuk memberi penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, delegasi negara bertemu dengan pihak Kementerian Perdagangan China minggu lepas apabila negara itu menyatakan kebimbangan mengenai implikasi geopolitik ART, memandangkan Malaysia dan China merupakan rakan dagang strategik.

“Mereka menyatakan mereka perlu merekodkan perkara ini kerana (ini adalah) isu geopolitik. Mereka mahu memastikan apa-apa yang dipersetujui tidak membebankan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Tengku Zafrul berkata, perbincangan itu juga membawa kepada usaha China untuk merapatkan lagi kerjasama perdagangan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) baharu, walaupun kedua-dua negara sudah mempunyai kerangka sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan perjanjian perdagangan bebas ASEAN-China.

Mengulas lanjut mengenai langkah Malaysia menandatangani ART lebih awal berbanding beberapa negara ASEAN lain, beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana struktur eksport Malaysia yang amat terdedah kepada tarif AS.

“Pagi tadi pun saya ada perbincangan dengan USTR (Wakil Perdagangan AS). Mereka mengatakan kita akan mendapat layanan terutama dalam sektor E&E (elektrik dan elektronik) dan semikonduktor kerana kita merupakan rakan strategik dalam sektor ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak berunding dengan AS mengenai ART dalam suasana yang selesa.

Jelasnya, rundingan di bawah bayangan tarif baharu sebanyak 25 peratus bagi hampir keseluruhan eksport ke AS dan tanpa ART boleh mengakibatkan pertumbuhan KDNK Malaysia susut sekitar 1.2 mata peratus setahun iaitu hampir RM30 bilion setahun.

Artikel Berkaitan:

“Saya lebih rela dikritik kerana bergerak cepat untuk menyelamatkan kilang dan pekerjaan rakyat daripada dipuji kerana berani melawan membiarkan tarif 25 peratus jatuh tanpa sebarang payung,” katanya.

Tengku Zafrul turut menepis dakwaan bahawa ART menjejaskan kedudukan hak bumiputera.

Beliau berkata, Artikel 7.1 dalam Perjanjian ART mengiktiraf hak dan obligasi Malaysia di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melindungi keselamatan negara serta mengambil langkah perdagangan yang perlu.

Katanya, perjanjian itu juga boleh ditamatkan dengan notis bertulis selepas 180 hari, seperti diperuntukkan dalam Artikel 7.5. - Bernama

Ringkasan AI

  • Malaysia menghantar delegasi ke China untuk bincang ART dengan AS kerana kebimbangan China tentang implikasi geopolitik
  • China mahu pastikan hubungan perdagangan dengan Malaysia tidak terjejas akibat ART
  • Perbincangan itu membawa kepada usaha kerjasama perdagangan yang lebih rapat melalui MoU baharu
  • Keputusan Malaysia tandatangani ART lebih awal berbanding negara ASEAN lain kerana struktur eksport sangat terdedah kepada tarif AS
  • ART mengiktiraf hak Malaysia di WTO dan boleh ditamatkan dengan notis bertulis selepas 180 hari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!