Razman mahu heret Exco DAP ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

IPOH – Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria memberi amaran akan membawa usul khas untuk mengheret Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan susulan dakwaan yang dianggap cuba memesongkan isu berkaitan lawatan ke sekolah.
Razman berkata, fakta sebenar berhubung perbandingan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar dari DAP itu ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 melibatkan lawatan rasmi ke sekolah pada 2020 dengan insiden terbaharu kehadiran wakil rakyat DAP di sebuah sekolah di Beruas, tidak tepat.
Menurutnya, semua lawatan pada 2020 oleh ADUN-ADUN kerajaan dari Pas ketika itu dilakukan atas kapasiti rasmi pentadbiran ketika negara berdepan situasi darurat kesihatan akibat pandemik Covid-19 selain sekolah ketika itu sedang melalui fasa pembukaan semula.
"Tujuan utama lawatan tersebut adalah memantau operasi sekolah bagi memastikan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) serta menyampaikan bantuan berkaitan pengurusan Covid-19 termasuk peralatan sanitasi dan sokongan logistik.
"Kebetulan ketika itu saya memegang portfolio pendidikan dan ia langsung tidak melibatkan sebarang bentuk kempen politik, ucapan parti atau promosi kepentingan politik,” katanya di Bilik Sidang Media DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.
Razman berkata, penting membezakan antara lawatan pentadbiran yang dibenarkan dengan kehadiran berunsur politik seperti yang ditegaskan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) 2023.
Jelasnya, lawatan yang dibuat ketika itu tidak mengandungi sebarang elemen kempen politik, ucapan parti, promosi kepentingan politik atau interaksi berbentuk partisan dengan warga sekolah.
"Saya dengan ini menggesa agar ADUN Pasir Bedamar usah cuba berdalih dengan mengalihkan isu berkaitan kempen politik menerusi video tular baru-baru ini.
“Saya tidak teragak-agak untuk membawa usul khas bagi mengheret ADN Pasir Berdamar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” tegasnya.
Terdahulu ketika sesi penggulungan, Kah Leong mendedahkan pada 2020, Razman bersama beberapa ADUN dari Pas turut memasuki premis sekolah dengan menunjukkan beberapa gambar sebagai bukti.
Pada 27 November lalu, Sinar Harian melaporkan Pembangkang DUN Perak menuntut penjelasan rasmi kerajaan negeri susulan penularan sebuah video memaparkan kehadiran pemimpin parti kerajaan ke sebuah sekolah di Ayer Tawar, Beruas bulan lalu.
Video berdurasi satu minit 24 saat itu mengundang perhatian warganet kerana bercanggah dengan pematuhan Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang jelas tidak membenarkan kehadiran ahli politik ke institusi pendidikan.
Ringkasan AI
- Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria bertindak atas amaran untuk mengusulkan tindakan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terhadap Exco Woo Kah Leong atas dakwaan memesongkan isu lawatan sekolah
- Razman menegaskan lawatan tahun 2020 adalah atas kapasiti rasmi ketika pandemik Covid-19 dan tidak berkaitan dengan politik
- Tujuan lawatan tersebut adalah untuk memantau operasi sekolah dan memastikan pematuhan SOP serta menyampaikan bantuan pengurusan Covid-19
- Razman menyarankan perbezaan antara lawatan pentadbiran yang dibenarkan dan kehadiran berunsur politik mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas 2023
- Video tular yang memaparkan pemimpin parti kerajaan di sebuah sekolah menimbulkan isu pematuhan terhadap Surat Pekeliling Ikhtisas yang melarang kehadiran ahli politik di institusi pendidikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

