Able Perfect berpegang nilai al-Saff, kukuhkan bisnes

Ahmad Farid Kamarudin
Ahmad Farid Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM – Nilai yang terkandung dalam Surah As-Saff menjadi antara inspirasi utama budaya kerja di Able Perfect Sdn Bhd, khususnya dalam aspek disiplin, kesepakatan dan integriti yang diterapkan dalam operasi syarikat sejak sekian lama.

Timbalan Presiden Able Perfect, Ahmad Farid Kamarudin berkata, konsep “merapatkan saf” diterjemahkan dalam bentuk kerjasama erat antara pengurusan, pelanggan dan pembekal, selain memastikan setiap urusan dijalankan secara jujur dan adil.

“Salah satu prinsip kami ialah cepat selesaikan hutang, tidak membebankan pembekal dan memastikan rakan niaga boleh terus berkembang dengan stabil. Bila pembekal kami boleh kekal kukuh, syarikat kami pun kekal kukuh,” katanya.

Menurutnya, Able Perfect mengekalkan harga produk pada kadar berpatutan, mengutamakan operasi yang efisien serta mengurus beberapa entiti termasuk Able Perfect, Able Dairies, Able Development yang membangunkan taman perindustrian seluas 300 hektar di Selangor, dan sebuah operasi penapisan minyak masak.

“Semua ini hasil kepercayaan dan nilai kerja yang kami pegang sejak awal,” ujarnya.

Able Perfect turut menggunakan pentas World #QuranConvention untuk menampilkan jenama serta rangkaian produknya sebagai sokongan kepada masyarakat global. Langkah itu selari dengan status Able Perfect dan Able Dairies yang memasarkan sehingga 80 hingga 90 peratus produk ke luar negara.

Timbalan Presidennya, Ahmad Farid Kamarudin, berkata penyertaan dalam acara bertaraf antarabangsa itu memberi ruang menonjolkan bahawa produk syarikat bersifat inklusif dan memenuhi keperluan pengguna pelbagai latar.

“World #QuranConvention ialah platform global, dan jenama kami juga merupakan jenama global. Kami mahu menunjukkan produk kami melangkaui sempadan agama, bangsa dan wilayah,” jelasnya.

Able Perfect menawarkan lebih 100 jenis produk merangkumi minyak masak, minyak sapi, susu pekat manis, susu cair dan susu tepung untuk pasaran antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Beroperasi lebih 23 tahun, Able Perfect kini mengeksport lebih 80 peratus produk ke 140 negara, termasuk rantau ASEAN dan Timur Tengah.

Farid berkata, pensijilan halal menjadi keutamaan syarikat bagi memastikan produk diterima masyarakat global.

“Kami mengekalkan integriti produk dari semua aspek kualiti, kebersihan dan konsistensi. Lebih 50 peratus pekerja kami beragama Islam, jadi komitmen terhadap halal bukan pilihan, tetapi kewajipan,” katanya.

Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi masyarakat, selari dengan nilai al-Quran yang menuntut penyampaian maklumat yang benar dan beretika.

Dalam usaha CSR, Able Perfect turut menyokong pembangunan sukan peringkat sekolah termasuk pasukan ragbi di Perlis, selain memberi bantuan kepada pelbagai persatuan komuniti.

Sejak 2004, syarikat itu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan mewujudkan empat Bilik Multisensori Pendidikan Khas (Snoezelen) di Pulau Pinang dan Perak. Bilik terapi bernilai RM60,000 setiap satu itu membantu murid berkeperluan khas seperti Autisme, Sindrom Down dan ADHD, selaras dengan peningkatan murid pendidikan khas sebanyak 12 peratus setiap tahun.

Able Perfect juga bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam program Susu Sekolah Bersama Able Farm di Perak dan Pulau Pinang.

Pada 2023, syarikat itu menjalankan program Corporate Internship bersama Jabatan Penjara untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan, dan kini sedang memperkemas program tersebut.

“Kami mahu tunjukkan bahawa produk dan nilai syarikat ini bersifat inklusif serta benar-benar untuk masyarakat, dari peringkat tempatan hingga global,” katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!