Semua DUN terima RM300,000, tiada peruntukan khas kepada pembangkang

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak berhasrat untuk menyalurkan peruntukan khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang memandangkan peruntukan sedia ada telah disediakan sebanyak RM300,000 untuk pelaksanaan projek infrastruktur kecil, program dan bekalan bagi semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan yang disediakan di dalam belanjawan diuruskan beberapa entiti seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Pejabat Kewangan Negeri Perak, pejabat-pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Menteri Besar Perak.
Menurutnya, peruntukan yang diluluskan melalui Pejabat Menteri Besar Perak diuruskan oleh ADUN-ADUN kerajaan di kawasan masing-masing manakala bagi kawasan pembangkang diuruskan oleh pegawai-pegawai khas Menteri Besar yang dilantik.
"Dia (ADUN) tak boleh luluskan (peruntukan). Kalau dia pergi sekolah, PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) mohon kerusi meja, ADUN kerajaan berkenaan akan menulis kepada UPEN (Unit Perancang Ekonomi Negeri) bagi pihak MB. Jika UPEN berpandangan permohonan itu dalam ruang lingkup kriteria dibenarkan, jadi UPEN akan luluskan. Jika ADUN kerajaan tulis memohon peruntukan untuk baik pulih pejabat UMNO, tak lulus sebab dia telah salah gunakan bantuan untuk parti politik.
"Itu untuk ADUN kerajaan peruntukan sama RM300,000. Bagi kawan-kawan saya di dalam DUN pembangkang, peruntukan itu akan diuruskan oleh pegawai-pegawai khas MB, nilainya sama, cara pun sama," katanya ketika menjawab soalan lisan Mohd Akmal Kamarudin (Pas-Selama) sempena Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.
Saarani berkata, wakil rakyat pembangkang tidak perlu bimbang tentang pengagihan peruntukan tersebut kerana semua prosedur permohonan dan kelulusan adalah sama hanya individu yang menguruskan berbeza.
Dalam pada itu beliau menjelaskan kerajaan negeri sudah mengumumkan pemberian sama rata peruntukan bulanan sebanyak RM10,000 kepada semua pusat khidmat ADUN sama ada kerajaan atau pembangkang.
Katanya, sebanyak RM7,000 digunakan bagi tujuan pengurusan pusat khidmat manakala RM3,000 lagi boleh digunakan untuk urusan-urusan lain seperti memberi sumbangan kepada rakyat di kawasan masing-masing.
Jelasnya, kerajaan negeri sedaya upaya untuk berlaku adil kepada semua pusat khidmat namun peruntukan disalurkan itu bergantung kepada ADUN berkenaan untuk menguruskan supaya sampai kepada rakyat.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Perak tidak berhasrat menyalurkan peruntukan khas kepada ADUN pembangkang kerana sudah ada RM300,000 untuk projek infrastruktur
- Peruntukan ini diuruskan oleh entiti kerajaan termasuk Pejabat Menteri Besar Perak
- ADUN kerajaan boleh memohon peruntukan melalui UPEN, sedangkan untuk ADUN pembangkang diuruskan oleh pegawai khas Menteri Besar
- Setiap ADUN, sama ada kerajaan atau pembangkang, mendapat peruntukan sama rata RM300,000
- Kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan bulanan RM10,000 kepada semua pusat khidmat ADUN, RM7,000 untuk pengurusan pusat khidmat dan RM3,000 untuk sumbangan kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

