Struktur baharu KWSP tidak jejas hak pengeluaran ahli sedia ada

Cadangan penstrukturan semula akaun KWSP bagi fasa penggunaan simpanan persaraan tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada. Gambar kecil: Lim Hui Ying
Cadangan penstrukturan semula akaun KWSP bagi fasa penggunaan simpanan persaraan tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada. Gambar kecil: Lim Hui Ying
A
A
A

SHAH ALAM – Cadangan penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi fasa penggunaan simpanan persaraan tidak akan menjejaskan hak pengeluaran ahli sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying sebaliknya berkata, ia hanya terpakai kepada ahli baharu selepas tarikh pelaksanaan.

Menurutnya, bagi ahli semasa, peralihan kepada struktur baharu itu adalah secara sukarela dan kerajaan komited untuk menjalankan libat urus menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Struktur baharu itu merupakan langkah penting ke arah memastikan pencarum mempunyai aliran pendapatan yang stabil dan mampan selepas bersara.

“Kerajaan Madani komited untuk terus mendengar pandangan rakyat dan memastikan pelaksanaan dilakukan secara inklusif serta adil untuk semua pihak.

“Cadangan ini bertujuan membantu rakyat mengurus simpanan persaraan dengan lebih tersusun dan berdaya tahan tanpa menjejaskan hak sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Khamis, kerajaan akan meneroka satu mekanisme baharu bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara, bertujuan meningkatkan kesejahteraan pekerja.

Antara langkah yang dicadangkan ialah pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, di bawah struktur baharu yang dicadangkan itu, simpanan ahli KWSP akan dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu Simpanan Fleksibel dan Simpanan Pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Simpanan Fleksibel adalah bahagian caruman yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan pencarum manakala Simpanan Pendapatan akan dibayar secara berkala sehingga habis.

“Ini hanyalah satu cadangan awal dan Kerajaan Madani komited untuk terus mendengar pandangan rakyat serta menjalankan libat urus menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Tujuannya adalah jelas iaitu memastikan rakyat dapat mengurus simpanan persaraan dengan lebih tersusun, adil dan mampan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!