Isyarat penolakan parti Semenanjung - Penganalisis

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang menyaksikan Parti Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan (Warisan) berjaya menawan lebih banyak kerusi memberi isyarat jelas penolakan rakyat negeri itu terhadap parti Semenanjung.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, ia dibuktikan lagi dengan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), DAP dan Perikatan Nasional (PN) kali ini.
“Saya melihat faktor utama kemenangan besar GRS dan Warisan kali ini ialah peningkatan sentimen parti lokal dominan yang menjadi pilihan utama pengundi.
“Isyarat jelas bahawa parti Semenanjung semakin tidak mendapat tempat lagi dalam kalangan pengundi Sabah dan pengundi Sabah lebih mengutamakan parti tempatan.

“Sebab itulah kita lihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP juga tewas semua kerusi yang ditandingi. Ini perubahan angin politik baru di Sabah yang mengejutkan dan menggambarkan pengundi sudah bosan dengan campur tangan politik orang luar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menyentuh mengenai kemenangan sulung Pas di Sabah melalui calonnya, Datuk Dr Aliakhbar Gulasan di (DUN) Karambunai, beliau berkata, ia disebabkan faktor calon.
“Jika diletak calon lain mewakili Pas di situ saya yakin calon Pas (juga) akan tewas,” ujarnya.
Pecahan kerusi
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis pula berpendapat, selain penolakan parti Semenanjung, antara penentu utama kejayaan GRS dan Warisan ialah faktor calon.
Beliau dalam masa sama turut tidak menolak faktor pecahan kerusi yang tinggi di kawasan tertentu turut memberi kelebihan kepada kedua-dua parti berkenaan.
“Dalam masa sama juga saya melihat kekuatan parti-parti yang bertanding itu tidak sesuai dengan kehendak demografi dan geografi pengundi,” katanya.

Beliau berkata, antara isyarat besar lain yang ditunjukkan pengundi negeri itu ialah agenda tempatan dan isu kontroversi yang berlaku di peringkat Persekutuan.
Keputusan PRN Sabah ke-17 pada Sabtu menyaksikan sokongan rakyat terhadap parti tempatan seperti GRS dan Warisan lebih tinggi berbanding parti Semenanjung.
Berdasarkan perkiraan, parti tempatan Sabah menguasai 60 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), bersamaan 82.19 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi.
Sebaliknya, parti Semenanjung seperti BN, PH dan PN hanya memenangi lapan kerusi iaitu sekitar 10.95 peratus, sekali gus menggambarkan pengaruh yang semakin mengecil dalam politik negeri itu.
Sementara itu, calon Bebas berjaya meraih lima kerusi bersamaan 6.8 peratus, menunjukkan terdapat segmen pengundi yang memilih wakil individu berbanding parti.
INFO KEPUTUSAN PRN KE-17 SABAH:
GRS - 29 kerusi
Warisan - 25 kerusi
BN - 6 kerusi
Bebas - 5 kerusi
UPKO - 3 kerusi
STAR - 2 kerusi
KDM - 1 kerusi
PN - 1 kerusi
PH - 1 kerusi
Ringkasan AI
- Parti Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan menang banyak kerusi dalam PRN Sabah menyebabkan penolakan terhadap parti Semenanjung
- Kekalahan teruk parti-parti Semenanjung seperti PH, BN, DAP dan PN menunjukkan peningkatan sentimen terhadap parti lokal
- Kemenangan GRS dan Warisan disebabkan peningkatan pilihan pengundi kepada parti lokal
- Parti Semenanjung tidak mendapat tempat dalam kalangan pengundi Sabah kerana pengundi lebih mengutamakan parti tempatan
- Parti tempatan Sabah menguasai 60 daripada 73 kerusi DUN Sabah, menunjukkan pengaruh parti Semenanjung semakin mengecil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

