'Kemenangan sulung di Karambunai jadi asas kukuh Pas di Sabah' - Tuan Ibrahim

KOTA KINABALU - Kemenangan Datuk Dr Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai diharap akan meletakkan asas kukuh buat Pas di Sabah pada masa hadapan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan sulung parti itu di Sabah membawa makna yang amat besar kepada perjuangan pihaknya.
Beliau dalam masa sama turut memanjatkan rasa syukur tidak terhingga dan terima kasih buat pengundi serta jentera Pas dan Perikatan Nasional (Pas-PN) yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan memihak kepada Aliakbar.
"Kepada Aliakbar, ini satu amanah yang diberikan oleh pengundi di Karambunai dan berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita yakin beliau mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin.
“Marilah kita sama-sama berusaha mengangkat martabat Aliakbar sebagai wakil rakyat kita bersama dan insya-ALLAH mudah-mudahan ALLAH SWT memudahkan urusan dan segala tugasan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian dalam satu hantaran video dimuat naik di Facebook beliau selepas mengadakan sidang media, di sini pada Sabtu.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 11 malam, Aliakbar yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah bertanding atas tiket PN, memenangi kerusi DUN Karambunai dengan majoriti 371 undi.
Keputusan itu sekali gus mencipta sejarah buat Pas yang pertama kali berjaya memenangi kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.
DUN Karambunai menyaksikan pertembungan 11 penjuru yang mempunyai 39,247 pengundi berdaftar.
Ringkasan AI
- Kemenangan Datuk Dr Aliakbar Gulasan di DUN Karambunai datangkan harapan kukuh untuk Pas di Sabah
- Kemenangan ini adalah yang pertama bagi Pas di Sabah dan membawa makna besar bagi perjuangan parti
- Pengundi dan jentera Pas serta Perikatan Nasional berusaha keras memastikan kemenangan Aliakbar
- Aliakbar diamanahkan sebagai ADUN Karambunai dan diharap dapat laksanakan tugas dengan baik
- Kerusi DUN Karambunai dimenangi dengan majoriti 371 undi dalam pertembungan 11 penjuru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

