[VIDEO] Skim potongan gaji lonjak kutipan zakat Selangor

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) merekodkan peningkatan ketara dalam kutipan zakat melalui skim potongan gaji yang kini menyumbang sekitar RM600 juta, menjadikannya komponen terbesar dalam kutipan zakat harta tahun ini.
Perkembangan itu turut memacu LZS berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran kutipan RM1.328 bilion bagi tahun 2025, berbanding RM1.22 bilion pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, antara faktor peningkatan tersebut adalah kerjasama strategik dengan syarikat dan majikan yang memberi ruang kepada LZS menjalankan kempen langsung di premis mereka serta memudahkan pelaksanaan potongan gaji melalui Jabatan Sumber Manusia.
“Selangor sebagai negeri dengan KDNK tertinggi di Malaysia, jadi jumlah tenaga kerjanya besar. Kadang-kadang pekerja yang tidak wajib zakat pun tetap mahu membuat potongan RM5 atau RM10 sebulan.
“Semangat ini amat menggalakkan dan menunjukkan kesedaran umat Islam semakin meningkat,” katanya ketika ditemui pada Karnival Zakat Selangor (KZS) 2025 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Sabtu.

Tambahnya, pertumbuhan skim potongan gaji yang mencecah 20 hingga 30 peratus itu juga berpunca daripada penerimaan positif majikan, termasuk kilang dan syarikat besar yang membuka pintu kepada LZS untuk memberi taklimat zakat kepada ribuan pekerja.
Melalui usaha itu, katanya, ramai pekerja industri, termasuk pekerja kilang bergaji rendah mula menunaikan zakat secara konsisten setiap bulan.
Selain itu, Mohd Khaidzir berkata, pembayaran zakat korporat turut menunjukkan perkembangan positif walaupun masih dianggarkan sekitar 20 peratus syarikat yang menunaikannya.
Menurut beliau, sebahagian syarikat tidak dapat berzakat sepenuhnya kerana pemilikan sahamnya tidak 100 peratus Muslim, namun syarikat milik Muslim menunjukkan peningkatan komitmen yang jelas.
“Apabila pengurusan syarikat faham bahawa pendapatan perniagaan juga mempunyai hak asnaf, mereka mula konsisten berzakat. Ini petunjuk baik dan membantu mengukuhkan kedudukan kami bagi mencapai sasaran kutipan tahun ini,” ujarnya.

Karnival Zakat Selangor capai 15,000 pengunjung
KZS 2025 yang berlangsung selama tiga hari sejak Khamis lalu menerima kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung, sekali gus membuktikan minat masyarakat terhadap program berteraskan pembangunan sosial dan kempen kesedaran zakat.
Kemuncak acara berlangsung pagi Sabtu dengan lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam Zakat Selangor Run yang menjadi antara tarikan utama pengunjung selain pelancaran Kempen Impak Dirasa oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.
Menurut Mohd Khaidzir, KZS 2025 dirangka untuk menghimpunkan muzakki, asnaf dan komuniti Selangor dalam satu platform bagi membolehkan masyarakat melihat sendiri perjalanan aliran dana zakat yang diuruskan LZS serta impaknya kepada keluarga asnaf di negeri ini.
Sepanjang penganjuran, karnival tersebut turut menampilkan segmen i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan daripada 20 majikan, termasuk syarikat penghantaran, industri makanan dan penyedia latihan kemahiran.
Ia memberi ruang kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf mendapatkan kerjaya stabil melalui padanan terus dengan majikan.

Selain itu, lebih 150 reruai melibatkan agensi kerajaan, swasta dan usahawan tempatan mempamerkan perkhidmatan, produk serta program pembangunan seperti pendidikan, keusahawanan dan latihan kemahiran.
Antara agensi yang mengambil bahagian termasuk institusi TVET, penyedia latihan keusahawanan serta pihak berkaitan kebajikan masyarakat.
Karnival turut diserikan dengan pelbagai pengisian seperti jualan Rahmah, food truck, sukan rakyat, pertandingan mewarna, demonstrasi seni silat, persembahan nasyid, pameran perkhidmatan zakat serta jualan produk usahawan asnaf, yang memberi peluang pengunjung berinteraksi secara langsung dengan penerima manfaat zakat.
Kempen Impak Dirasa yang bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2025 menampilkan mesej ‘sentiasa bersama, sentiasa menjaga’, menekankan bahawa kebaikan zakat bukan sekadar dilihat, tetapi boleh dirasai oleh pembayar dan penerima.

Serentak dengan itu, LZS turut menjalankan kempen khas ‘rezeki dikongsi, impak dirasa’ yang menawarkan hadiah seperti pakej umrah, motosikal dan baucar membeli-belah melalui cabutan khusus hujung tahun.
Reaksi pengunjung Karnival Zakat Selangor

“Alhamdulillah, semua kaunter ada di karnival ini. Memang memudahkan untuk kami asnaf mengemas kini rekod kerana sebelum ini setiap bulan saya dapat bantuan pembayaran rumah sewa. Terima kasih LZS” -Novita Rahmat, 42, suri rumah
“Saya mahu cari pekerjaan tetap, sebelum ini saya sudah ikuti kursus bersama LZS dan hari ini saya cuba memohon kerja menerusi wakil agensi dan syarikat yang menyertai i-Kerjaya di karnival ini. - Nur Fazilah Pazerulsham,22, graduan pengajian Islam
“Saya memang minat menyertai acara sukan , jadi kebetulan hari cuti dapatlah saya berlari lima kilometer keluarkan peluh menerusi penganjuran Zakat Selangor Run yang bermula seawal jam 6 pagi”- Nik Nurul Arifah Zainuddin,28, pekerja swasta
Ringkasan AI
- LZS merekodkan peningkatan ketara dalam kutipan zakat melalui skim potongan gaji yang menyumbang sekitar RM600 juta
- Peningkatan tersebut membantu LZS berada di landasan untuk mencapai sasaran kutipan RM1.328 bilion pada tahun 2025
- Kerjasama strategik dengan syarikat dan majikan termasuk kempen langsung di premis mereka merupakan antara faktor peningkatan kutipan zakat
- Pembayaran zakat korporat menunjukkan perkembangan positif dengan syarikat milik Muslim menunjukkan peningkatan komitmen terhadap pembayaran zakat
- Karnival Zakat Selangor 2025 mendapat sambutan hangat dengan kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung, menampilkan peluang pekerjaan dan interaksi langsung dengan penerima manfaat zakat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


