[RASMI] Jordan Jude Ellron tewaskan 13 pencabar di DUN Tulid

KOTA KINABALU – Saingan paling besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid akhirnya berpihak kepada calon Bebas, Jordan Jude Ellron yang muncul pemenang selepas menewaskan 13 pencabarnya.
Dalam perebutan kerusi yang mempunyai 16,551 pemilih berdaftar, Jordan yang menggunakan simbol manggis, meraih 3,545 undi, sekali gus mencatat majoriti 1,195 undi menjadikan beliau antara calon Bebas paling menonjol pada pilihan raya kali ini.
Pertandingan di Tulid dianggap paling sengit apabila 14 calon bertanding merangkumi gabungan parti utama, parti tempatan Sabah dan enam calon Bebas.
Kemenangan Jordan turut menyaksikan beliau mengenepikan calon-calon utama antaranya Rufinah Pengeran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 1,628 undi, dan Datuk Evaristus Gungkit daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meraih 2,350 undi.
Turut bersaing, Vinson Rusikan (Parti Kebangsaan Sabah-PKS) dengan 93 undi, Dr Oswald Aisat Igau (KDM) menerima 416 undi, Lucia Binti Kihing (Warisan) memperoleh 855 undi, Juna bt Dimis (Parti Rumpun Sabah) dengan 271 undi, serta Rayner Francis Udong (Parti Impian Sabah-PIS) yang menerima 69 undi.
Dalam saingan itu, seorang lagi calon Bebas dengan simbol traktor, Edwin Laimin memperoleh 1,236 undi.
Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohd Khairil Abdullah pula meraih 555 undi.
Beberapa calon Bebas seperti Datuk Suman Yasambun memperoleh 699 undi, Clarence Carter Maraat (27 undi), Engah Bin Sintan @ Dahlan Bin Abdullah (100 undi) dan Lautis @ Laulis Bin Anggang (18 undi).
DUN Tulid sebelum ini dimenangi oleh Flovia Ng (STAR) dengan majoriti 544 undi.
Ringkasan AI
- Jordan Jude Ellron, calon Bebas, menang dalam PRN Sabah di DUN Tulid dengan majoriti 1,195 undi
- Pertandingan sengit dengan 14 calon termasuk gabungan parti utama dan calon Bebas
- Jordan mengalahkan calon utama seperti Rufinah Pengeran (PH) dan Datuk Evaristus Gungkit (STAR)
- Seorang lagi calon Bebas, Edwin Lainim, memperoleh 1,236 undi
- DUN Tulid sebelum ini dimenangi oleh Flovia Ng dari STAR
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
