PRN Sabah: Rundingan bentuk kerajaan sedang rancak berlangsung

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) bersalaman dengan penyokongnya ketika tiba Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya. - Foto Bernama
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) bersalaman dengan penyokongnya ketika tiba Kediaman Rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Rundingan bagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 sedang rancak berlangsung di beberapa lokasi di sini malam Sabtu.

Setakat 11 malam, Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan keputusan rasmi bagi 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun difahamkan parti-parti sedang giat mengadakan rundingan di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya dan beberapa lokasi lain.

Mengikut keputusan tidak rasmi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendahului dengan 29 kerusi manakala pencabar terdekat, Parti Warisan (Warisan) memperoleh 23 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (8), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2).

Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh satu kerusi manakala Bebas menang lima kerusi.

Berikutan keputusan itu, UPKO, STAR, KDM dan lima calon Bebas yang menang dikatakan menjadi penentu bagi pembentukan kerajaan negeri baharu.

Penyokong-penyokong GRS bersorak ketika menyaksikan keputusan PRN Sabah ke-17 Kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya. - Foto Bernama
Penyokong-penyokong GRS bersorak ketika menyaksikan keputusan PRN Sabah ke-17 Kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya. - Foto Bernama

Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dan untuk membentuk kerajaan negeri, majoriti mudah yang diperlukan ialah 37 kerusi.

Menurut sumber parti, majlis angkat sumpah Ketua Menteri baharu dijangka diadakan awal pagi esok di Istana Seri Kinabalu di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tan Sri Musa Aman jika rundingan antara mereka dapat dimuktamadkan menjelang tengah malam ini.

Artikel Berkaitan:

Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tiba di Hotel Avangio di sini dan antara yang hadir ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Sementara itu, dua kenderaan dipercayai membawa Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick dilihat memasuki laluan yang menempatkan kediaman rasmi Ketua Menteri serta Istana Seri Kinabalu.

Kenderaan yang dipercayai membawa Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong juga dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu malam ini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai sebuah parti yang sentiasa mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN sedia bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk kerajaan negeri baharu demi kestabilan politik Sabah.

"Perjalanan Negeri Sabah ke hadapan memerlukan iltizam semua pihak, dan BN akan terus memainkan peranan yang konstruktif bagi memastikan negeri ini terus melangkah ke arah kemajuan dan kemakmuran," katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Rundingan membentuk Kerajaan Negeri Sabah baharu berlangsung selepas PRN ke-17
  • Suruhanjaya Pilihan Raya umum 22 kerusi DUN, parti-parti runding di kediaman Ketua Menteri dan lokasi lain
  • Gabungan Rakyat Sabah mendahului dengan 29 kerusi, diikuti Parti Warisan dengan 23 kerusi
  • UPKO, STAR, KDM dan lima calon Bebas menjadi penentu pembentukan kerajaan baru
  • Menurut sumber parti, majlis angkat sumpah Ketua Menteri baharu dijangka awal pagi esok

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!