Padah buat bising, pasang muzik dengan kuat dan minum arak!

Tujuh lelaki ditahan polis selepas gagal memberikan alasan kukuh untuk berkumpul semasa tempoh PKP ini termasuk mengganggu ketenteraman awam di Jalan Pantai Cenang, Langkawi semalam. -FOTO: POLIS LANGKAWI
Tujuh lelaki ditahan polis selepas gagal memberikan alasan kukuh untuk berkumpul semasa tempoh PKP ini termasuk mengganggu ketenteraman awam di Jalan Pantai Cenang, Langkawi semalam. -FOTO: POLIS LANGKAWI
A
A
A

LANGKAWI - Tindakan tujuh lelaki yang membuat bising dan memasang muzik dengan kuat membawa padah apabila ditahan polis kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah motel di Jalan Pantai Cenang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Mohd Ibrahim berkata, polis telah menasihati kesemua lelaki berkenaan untuk bersurai, namun mereka tidak mengendahkannya malah gagal mengemukakan alasan sah dan munasabah berada di luar.

Menurutnya, serbuan dilakukan selepas mendapat maklumat orang awam tindakan kumpulan berkenaan yang berkumpul, memasang muzik dengan kuat sambil minum minuman keras di hadapan bilik motel berkenaan.

No Image Caption

"Sepasukan polis dari Balai Polis Padang Matsirat menahan tujuh lelaki terbabit kerana menghalang tugas dan gagal mengemukakan sebarang alasan munasabah berada di luar semasa tempoh PKP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata, kesemua ditahan di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-keduanya sekali.

"Semua lelaki berkenaan mengaku berada di tempat pemeriksaan semasa serbuan dilakukan. Tangkapan dan pemeriksaan mendapati tiada barang menyalahi undang-undang.

"Majistret Langkawi membenarkan semua lelaki berkenaan direman tiga hari bermula 27 sehingga 29 Mac 2020 di Balai Polis Kuah untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: