Kop KGMMB Berhad, Kakatoo jalin kerjasama strategik

Dari kiri (duduk) Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B, Joyce Chong, Datuk Yusof dan Ibrahim Marlan di majlis menandatangani MoU di Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Dari kiri (duduk) Ketua Pegawai Eksekutif Kakatoo F&B, Joyce Chong, Datuk Yusof dan Ibrahim Marlan di majlis menandatangani MoU di Quill City Mall, Kuala Lumpur.
A
A
A

KOPERASI Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (Kop KGMMB Berhad) yang mempunyai kira-kira 20,000 ahli dan Kakatoo Malaysia, rangkaian restoran yang mempunyai 12 cawangan di Lembah Klang dan Putrajaya dengan citarasa masakan nyonya kampung memeterai satu Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membangunkan usahawan dalam sektor industri makanan.

Pengerusi Kop KGMMB, Ibrahim Marlan dan Pengerusi Kumpulan Kakatoo F&B, Datuk Yusof Izahar menandatangani MoU itu di Restoran Kakatoo, Quill City Mall, Kuala Lumpur, pada Sabtu, disaksikan oleh Ketua Penolong Pengarah (Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohammad Farhan Mohamad Sabri.

Menurut MoU itu, Kakatoo, sempena mengambil nama burung kakak tua, melalui LJP Kitchen Sdn Bhd, antara lain menyediakan program skim keusahawanan kepada 2,000 usahawan.

Ia juga menyediakan sokongan kewangan, perkakas, peralatan dan latihan keusahawanan kepada semua peserta yang terlibat.

Kop KGMMB pula akan melaksanakan promosi dan pemasaran di kalangan kantin-kantin sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, menyediakan program Skim Keusahawan untuk semua anggota koperasi.

Sasaran awal, 300 buah sekolah di Wilayah Persekutuan dan Selangor akan dilibatkan dalam program ini.

Sementara itu, Mohammad Farhan memuji inisiatif Kop KGMMB dan Kakatoo Malaysia, membuka peluang kepada golongan yang berminat dalam bidang perniagaan.

Ibrahim pula menyifatkan ia sebagai satu langkah strategik mengukuhkan kedudukan koperasi dalam sektor ekonomi yang lebih kompetitif.

"Kerjasama ini bukan sekadar menandatangani dokumen, tetapi pembukaan pintu kepada peluang perniagaan koperasi, program pembangunan keusahawanan dan latihan yang dapat dimanfaatkan guru, alumni serta keluarga mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Yusof pula berkata, pemerteraian kedua-dua pihak itu adalah permulaan kepada program yang lebih besar pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada guru, suri rumah, remaja dan pesara bergiat dalam perniagaan.

"Inisiatif ini selari aspirasi kerajaan memperkasa usahawan mikro dan meningkatkan sumber pendapatan kedua rakyat.

"Kakatoo komited menyediakan latihan, sokongan pemasaran, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bimbingan penuh kepada peserta program," katanya.

Buat permulaan, program itu bermula dengan skim keusahawanan Natalah Egg Tart.

Skim NataLah Egg Tart membuka peluang kepada peserta untuk memulakan perniagaan tart telur premium yang mudah diusahakan.

Berdasarkan statistik pasaran pencuci mulut negara, terdapat lebih 10 juta biji egg tart terjual di Malaysia setiap tahun, membuktikan permintaan pasaran yang tinggi dan konsisten.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!