PPPR SPRM adakan kerjasama strategik dengan KPT cegah rasuah

PPPR SPRM mencadangkan kerjasama strategik dengan KPT bagi mencegah rasuah dalam sesi pembentangan cadangan kempen tersebut di Putrajaya pada Selasa.
PPPR SPRM mencadangkan kerjasama strategik dengan KPT bagi mencegah rasuah dalam sesi pembentangan cadangan kempen tersebut di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan cadangan kerjasama strategik berkaitan kempen kesedaran pencegahan dan pendidikan antirasuah peringkat nasional kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha meluaskan penglibatan dalam kalangan ahli akademik, pegawai, kakitangan serta mahasiswa.

Pengerusi PPPR SPRM, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, KPT merupakan kementerian yang dikenal pasti sebagai rakan strategik kepada kempen kesedaran pencegahan rasuah kerana kebolehcapaian kelompok sasaran luas yang merangkumi institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

"Usaha yang ingin kita laksanakan ini sejujurnya memerlukan penglibatan KPT untuk dijayakan kerana generasi Z, Alpha dan Beta yang ketika ini sedang menuntut di institusi pengajian tinggi bakal menerajui kepimpinan, ekonomi serta industri pada masa hadapan," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai sesi pembentangan cadangan kempen tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir di Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Ketua Unit Integriti KPT, PPj Ahmad Humaizie Ramly serta ahli-ahli PPPR.

Tambah Yasmin, pada dasarnya pihak KPT menyambut baik cadangan berkenaan dan memberikan komitmen untuk melaksanakannya dalam modul latihan dan pembelajaran sedia ada.

Ujarnya, kempen tersebut menyasarkan kelompok pelajar berskala besar di institusi pengajian tinggi sebagai agen yang mampu membawa perubahan kepada pencegahan rasuah melalui pembinaan nilai yang akan digerakkan nanti.

"PPPR selaku entiti bebas yang akan menerajui usaha ini berhasrat agar kempen yang bakal dilaksanakan ini turut diperluas aktivitinya dan dirasai kesannya hingga ke peringkat mahasiswa institusi pengajian tinggi.

"Kami merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM yang dianggotai oleh wakil masyarakat, aktivis sosial, dewan perniagaan, pakar media dan ahli akademik.

Artikel Berkaitan:

"Antara peranan utamanya ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pendidikan masyarakat ke arah meningkatkan kesedaran tentang jenayah rasuah dan sokongan terhadap usaha pencegahan rasuah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!