Abang bomba 'terbang' dari Johor tunai tanggungjawab mengundi di Sabah

PAPAR - Demi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, seorang anggota bomba sanggup berbelanja lebih RM600 untuk tiket penerbangan dari Johor pulang ke Sabah semata-mata bagi menunaikan haknya pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Mohd Sahrul Razak, 27, berkata, beliau tiba di pusat pengundian sekitar jam 6.30 pagi, sambil menemani kedua ibu bapanya yang turut mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, di sini.
"Saya sampai beberapa hari lalu dan hari ini saya bersama ibu bapa datang untuk mengundi. Mereka mahu datang awal kerana sangat bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, jadi saya pun datang awal sama," katanya ketika ditemui selesai mengundi di pusat pengundian Pengalat Kecil pada Sabtu.
Mohd Sahrul yang bertugas sebagai anggota bomba di Johor berkata, beliau hanya mengambil cuti kira-kira empat hari bagi membolehkannya pulang mengundi.
"Tiket penerbangan lebih kurang RM600 untuk perjalanan pergi dan balik. Esok awal pagi Subuh saya sudah perlu berangkat semula ke Johor.
"Saya tidak kisah berbelanja lebih yang penting dapat menunaikan hak sebagai pengundi kali ini dan salah satu untuk meraikan semangat demokrasi negara," katanya yang tinggal dari Kampung Pengalat Kecil.
Sementara itu, ibunya, Marlinah Risun, 51, berkata, keadaan cuaca yang kurang baik mendorong mereka sekeluarga keluar lebih awal untuk mengundi.
"Lagi pun memang semangat, sebab lima tahun sekali saja kita diberi peluang memilih wakil rakyat. Jadi saya datang awal pagi untuk mengundi bersama anak dan suami.
"Selesai saja mengundi, boleh balik rumah awal," katanya.
Turut dilihat hadir membuang undi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, selesai membuang undi di pusat pengundian sama.
Beliau yang tiba sekitar jam 8.30 pagi turut menyantuni orang ramai sebelum selesai membuang undi kira-kira 10 minit kemudian.
Ringkasan AI
- Seorang anggota bomba dari Johor sanggup habiskan lebih RM600 untuk tiket penerbangan balik ke Sabah untuk mengundi dalam PRN17
- Mohd Sahrul Razak, 27, hadir mengundi bersama ibu bapa di SMK Pengalat, Papar jam 6.30 pagi
- Sahrul mengambil cuti kira-kira empat hari untuk pulang mengundi
- Keadaan cuaca yang kurang baik mendorong keluarga Sahrul keluar awal untuk mengundi
- Suruhanjaya Pilihan Raya menggalakkan pengundi keluar mengundi pada sebelah pagi disebabkan jangkaan cuaca buruk pada petang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
