Selangor, KL terus catat kes tertinggi Covid-19

Selangor mencatat 75 kes terbaru semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 510 sehingga jam 6 petang semalam. - Foto Twitter Amirudin Shari
Selangor mencatat 75 kes terbaru semalam menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 510 sehingga jam 6 petang semalam. - Foto Twitter Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM – Selangor dan Kuala Lumpur kekal merekodkan taburan kes positif wabak koronavirus (Covid-19) tertinggi di negara ini sehingga jam 6 petang semalam.

Selangor mencatatkan sebanyak 510 kes manakala Kuala Lumpur 321 kes.

Kementerian Kesihatan menerusi akaun Facebook rasminya memaklumkan kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur yang merekod penularan jangkitan Covid-19 melebihi 41 kes dan diklasifikasikan sebagai zon merah termasuk Lembah Pantai (167 kes), Petaling Jaya (167 kes), Hulu Langat (132 kes), Gombak (53 kes) dan Titiwangsa (49 kes).

Manakala daerah lain di negara ini yang turut dikategori zon merah termasuk Seremban, Negeri Sembilan (78), Johor Bahru ( 68), Kluang, Johor (54), Kota Bharu, Kelantan (48), Hilir Perak (48) dan Kinta, Perak (41).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan 75 kes baharu direkod di Selangor sehingga jam 6 petang semalam.

Sehubungan itu, Amirudin mengajak rakyat menunaikan solat hajat di kediaman masing-masing bagi memohon doa supaya wabak dihapuskan di negara ini.

“Marilah kita bersama-sama menunaikan solat hajat di kediaman masing-masing selepas solat Zuhur hari ini. Semoga doa dan hajat kita dimakbulkan ALLAH SWT dan wabak Covid-19 dapat dihapuskan dari Malaysia,” katanya menerusi status dimuat naik di akaun Twitter miliknya hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan Selangor mencatatkan dua kes kematian akibat jangkitan Covid-19 semalam.

Artikel Berkaitan:

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga dua mangsa tersebut.

“Saya menyeru rakyat agar patuhi arahan untuk duduk di rumah. Kita harus menang dalam perjuangan ini,” katanya.