PPS SK Bukit Payong dinaiki air, mangsa banjir terpaksa dipindahkan

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Daerah Marang semakin meruncing apabila Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong, terpaksa ditutup selepas lokasi menempatkan mangsa banjir itu sendiri turut dinaiki air.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, seramai 538 mangsa daripada 128 keluarga yang berlindung di PPS berkenaan sejak 26 November lalu kini terpaksa dipindahkan semula ke lokasi lebih selamat.
"Semua mangsa yang berada di PPS SK Bukit Payong telah mula dipindahkan ke dua PPS alternatif, iaitu SK Wakaf Tapai dan SK Paya Resak," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, langkah pemindahan itu perlu dilakukan susulan keadaan banjir yang semakin buruk dan demi memastikan keselamatan semua mangsa terjamin.
"Mangsa banjir yang berada di PPS ini dipindahkan secara berperingkat ke PPS berhampiran," tambah Mazura.
Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu dilaporkan semakin kritikal apabila jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat.
Menurut Portal Info Bencana JKM, sehingga jam 7 malam sebanyak 117 PPS telah dibuka di seluruh negeri menempatkan seramai 8,530 mangsa yang terjejas.
Ringkasan AI
- Situasi banjir di Daerah Marang semakin meruncing menyebabkan PPS di SK Bukit Payong ditutup
- Seramai 538 mangsa daripada 128 keluarga di PPS SK Bukit Payong terpaksa dipindahkan semula
- Mangsa-mangsa ditempatkan ke dua PPS alternatif, iaitu SK Wakaf Tapai dan SK Paya Resak
- Langkah pemindahan dilakukan untuk memastikan keselamatan semua mangsa banjir
- Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat dengan 117 PPS dibuka menempatkan 8,530 mangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
