Tarif AS: Apa maknanya untuk ekonomi Malaysia?

APABILA Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif baharu ke atas negara-negara pengeluar Asia, topik ini mungkin kelihatan jauh daripada kehidupan kita di Malaysia.
Namun realitinya, ekonomi hari ini saling bergantung dan terkait. Apa sahaja keputusan yang dibuat di Washington akhirnya tetap membawa kesan kepada rakyat di Kuala Lumpur, Alor Setar, Johor Bharu, Kota Bharu mahupun Kota Kinabalu.
Malaysia antara negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa. Jadi setiap perubahan cukai, dasar tarif atau ketegangan perdagangan global pastinya meninggalkan kesan jangka pendek dan jangka panjang kepada ekonomi negara
Malaysia bukan pesaing utama Amerika, tetapi Malaysia berada dalam rantaian pembekalan global. Contohnya, banyak produk Malaysia yang dieksport ke AS sebenarnya adalah komponen yang akhirnya dipasang atau digunakan oleh syarikat multinasional global.
Apabila tarif dikenakan ke atas produk-produk yang berasal dari rantau Asia, permintaan akan menurun dan Malaysia akan turut menerima tempias kesan daripada penurunan tersebut.
Dalam bahasa mudah, bila barang kita dikenakan tarif di AS, harga barang tersebut kepada pembeli di sana akan meningkat. Kesannya, bila harga barang meningkat, permintaan automatik akan jatuh.
Ini menyebabkan pendapatan syarikat eksport Malaysia terjejas. Bila syarikat rugi, ia akan kurangkan pengeluaran. Dan bila pengeluaran turun, peluang pekerjaan, kerja lebih masa (overtime), bonus dan pelaburan syarikat juga akan berkurangan. Jadi, tempias ekonomi itu akhirnya turun kepada rakyat.
Malaysia paling terkesan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), perabot, keluli, sarung tangan getah serta produk minyak sawit. Industri elektronik khususnya memberi sumbangan yang besar kepada KDNK negara dan jumlah eksport Malaysia.
Bayangkan, walaupun hanya sedikit pengurangan permintaan berlaku akibat tarif AS, ia akan memberi kesan kepada keseluruhan sektor pekerjaan berteknologi tinggi di Malaysia.
Satu lagi kesan yang kurang disedari ialah aliran pelaburan. Apabila polisi tarif AS menjadi ketat, banyak syarikat global memilih untuk memindahkan operasi pengeluaran ke negara lain bagi mengelakkan tarif.
Dalam keadaan ini, Malaysia sebenarnya mempunyai peluang, tetapi ia bukan peluang yang datang secara automatik. Untuk negara seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia, mereka telah lebih agresif dalam menarik pelaburan - memberi insentif cukai, mempermudah lesen perniagaan dan menawarkan kos buruh lebih rendah. Kalau Malaysia lambat bertindak, peluang ini boleh 'terbang' ke negara jiran.
Namun begitu, tidak semua kesan tarif Amerika merupakan berita buruk. Dalam beberapa situasi, apabila barang dari China dikenakan tarif tinggi, pembeli AS mencari pembekal alternatif.
Jika Malaysia boleh mengisi kekosongan ini, kita mampu menjadi pemenang. Tetapi ia memerlukan strategi - bukan sekadar mengharapkan keadaan pasaran berubah dengan sendiri.
Malaysia harus meningkatkan daya saing produk, mempercepatkan automasi dan mengurangkan kos operasi supaya mampu menawarkan harga yang lebih kompetitif.
Dari sudut makroekonomi, tarif AS juga memberi kesan terhadap ringgit. Selalunya, ketegangan perdagangan global menyebabkan pelabur antarabangsa mengurangkan pelaburan dalam pasaran baru (emerging markets), termasuk Malaysia.
Apabila pelabur asing keluar, nilai ringgit akan menjadi lemah. Ringgit yang lemah menjadikan kos import meningkat - kesannya kembali kepada rakyat melalui harga barang, terutama barang yang tidak dikeluarkan dalam negara seperti gandum, makanan proses dan mesin.
Bagi kebanyakan isi rumah, kesan tarif AS terasa bukan kerana mereka membeli barang secara langsung dari sana - tetapi kerana rantaian perdagangan global mempengaruhi harga barang, pekerjaan dan pendapatan.
Itulah realiti ekonomi moden: walaupun kita tidak pernah pergi ke New York atau Los Angeles, keputusan yang dibuat di sana sedikit sebanyak tetap terasa di dapur dan pasar raya di Malaysia.
Justeru, dalam menghadapi cabaran tarif AS, Malaysia perlu bertindak secara strategik dan proaktif. Pertama, pasaran eksport mesti dipelbagaikan dengan lebih agresif ke wilayah seperti Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika agar Malaysia tidak bergantung secara berlebihan kepada AS sebagai destinasi perdagangan.
Kedua, rantaian bekalan domestik perlu diperkukuh melalui pengurangan kebergantungan terhadap komponen import, sekali gus memastikan lebih banyak proses nilai tambah berlaku dalam negara - bukan di luar negara.
Ketiga, kerajaan dan sektor industri perlu mewujudkan ekosistem pelaburan dan inovasi yang benar-benar kompetitif. Maksudnya, Malaysia perlu menjadi pilihan utama syarikat antarabangsa untuk menempatkan kilang, pusat pengeluaran atau pusat rantaian bekalan - khususnya apabila mereka ingin mengelakkan kos tarif AS ke atas pengeluaran di negara lain seperti China.
Dengan kombinasi strategi ini, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan risiko daripada perubahan dasar perdagangan AS, bahkan berpotensi muncul sebagai hab pengeluaran dan perdagangan yang lebih berdaya saing di peringkat global.
Sejarah telah menunjukkan bahawa Malaysia ialah negara yang mempunyai daya tahan yang tinggi. Kita telah melalui krisis ekonomi 1997/98, krisis kewangan global 2008 dan pandemik Covid-19.
Dengan dasar ekonomi yang responsif dan kerjasama erat antara kerajaan serta industri, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan impak tarif AS - bahkan berpotensi muncul sebagai antara negara pengeluar yang lebih kuat dan kompetitif dalam ekonomi global.
* Prof Dr Mohd Abdullah Jusoh dari Jabatan Pengurusan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
