Daripada RM1 juta dibakar, RM123,000 berjaya diselamatkan

SHAH ALAM - Wang tunai berjumlah RM123,000 daripada kira-kira RM1 juta berjaya diselamatkan selepas dibakar oleh suspek utama kes rasuah perolehan tender projek pembinaan pusat data.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zainul Darus berkata, tindakan melupuskan bahan bukti merupakan satu kesalahan.
"Nilai rampasan wang tunai kini berjumlah RM7.7 juta selepas ditambah dengan RM123,000 yang selamat daripada dibakar.
“Setakat ini, seramai 20 individu telah diambil keterangan oleh SPRM bagi membantu siasatan," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan tiga suspek iaitu pengurus projek syarikat pembinaan dan dua pengarah syarikat masih dalam tahanan reman, manakala seorang suspek wanita telah dibebaskan pada Ahad selepas reman tamat.
Jumaat lepas, Sinar Harian melaporkan suspek utama bersama isteri serta dua pengarah syarikat ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
Kesemua suspek berusia lingkungan 40 hingga 60-an telah ditahan menerusi Op Ways yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan SPRM di sekitar Lembah Klang pada Khamis.
Semasa serbuan, suspek pengurus projek syarikat terbabit bertindak membakar wang tunai RM100 bernilai hampir RM1 juta akibat terkejut dengan serbuan SPRM di kediamannya di Petaling Jaya.
Pengurus projek tersebut kemudian direman tujuh hari, isterinya direman tiga hari, manakala dua lelaki berjawatan pengarah syarikat direman lima hari.
Dalam operasi itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM7.5 juta yang ditemui di rumah milik pengurus kontrak syarikat berkenaan.
Wang itu dipercayai merupakan rasuah yang dibayar kepada suspek sebagai balasan bagi mendapatkan enam tender perolehan projek terbabit.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek yang juga pengurus projek telah menetapkan bayaran rasuah sebanyak 2.5 peratus bagi setiap tender perolehan projek yang diperoleh dua syarikat berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
