PRN Sabah: Calon PN tandatangan ikrar setia, RM10 juta denda jika lompat parti

SHAH ALAM – Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 telah menandatangani ikrar sumpah bagi memastikan mereka tidak meninggalkan parti sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, calon-calon terbabit turut bersetuju membayar denda berjumlah RM10 juta kepada parti sekiranya mereka mengubah sokongan.
“Jumlah wang (denda) itu juga akan diagihkan kepada kawasan masing-masing,” ujar Hamzah yang juga merupakan Timbalan Presiden salah satu parti komponen PN dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Langkah yang diambil PN itu dilihat bertujuan mengukuhkan disiplin parti serta mengelakkan situasi lompat parti, terutamanya selepas pengalaman beberapa wakil rakyat meninggalkan parti selepas kemenangan pada pilihan raya lalu.
Pada PRN Sabah, PN dilaporkan bertanding di 41 kerusi. Daripada jumlah itu, 33 calon adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lima daripada Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan tiga daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Bagaimanapun, setakat ini belum didedahkan secara rasmi bilangan sebenar calon PN yang telah menandatangani ikrar terbabit.
Ringkasan AI
- Semua calon Perikatan Nasional yang bertanding pada PRN Sabah 2025 menandatangani ikrar sumpah untuk tidak meninggalkan parti
- Calon-calon bersetuju membayar denda RM10 juta sekiranya mengubah sokongan
- Denda akan diagihkan kepada kawasan masing-masing
- Langkah ini bertujuan mengukuhkan disiplin dan mengelakkan lompat parti
- PN bertanding di 41 kerusi pada PRN Sabah, termasuk calon dari Bersatu, Pas dan Gerakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

