'Sempat suap suami sebelum dia pergi'

KLANG – "Arwah sempat habiskan makanan, cuma selepas dua minit baring di sofa, dia kemudian masuk ke bilik, tapi tak sampai lima minit, dia dah tak ada".
Demikian luahan pilu Rafidah Shaharudin, 48, ketika menceritakan detik-detik akhir bersama suaminya, Fatah Ariffin Awang, 50, pemandu lori Karangkraf yang meninggal dunia akibat serangan jantung di rumah mereka di Telok Gadong Kecil di sini pada 11 November lalu.
Menurut Rafidah, sebelum kejadian, dia sempat menyuapkan nasi kepada suaminya yang mengadu tangannya terasa lemah dan tidak mampu memegang sudu.
"Arwah minta saya suapkan sebab tangannya tak larat nak pegang, tak sangka itu menjadi kenangan terakhir kami,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Terdahulu, Rafidah menerima kunjungan Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin Klang menerusi sesi ziarah prihatin dan penyerahan baucar Faedah Pengurusan Jenazah (FPM).
Hadir sama, Pengurus Pejabat PERKESO Klang, R Thavamani dan Pengurus Kanan Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang.

Rafidah berkata, sejurus selesai makan malam, arwah suaminya berehat di sofa sementara menunggu waktu untuk mengambil ubat cair darah yang dijadualkan pada jam 8 malam.
Bagaimanapun, katanya, beberapa minit kemudian, suaminya bangun untuk masuk ke bilik sebelum rebah dan tidak lagi sedarkan diri.
"Anak saya kejutkan, tapi tubuhnya sudah keras di bahagian kiri, bila masuk dan hampiri arwah, saya terkejut sebab dia memang dah tak ada,” katanya sebak.
Mengulas mengenai peribadi arwah, Rafidah berkata, Allahyarham Fatah Ariffin disifatkan sebagai seorang yang ceria dan sering bergurau dengan anak-anak tanpa menunjukkan sebarang tanda sakit.
Katanya, Allahyarham yang berkhidmat hampir empat tahun sebagai pemandu lori di Karangkraf turut merancang membawa keluarga bercuti ke Pulau Tioman selepas Aidilfitri tahun depan.
"Arwah ada kumpul duit, memang berhajat nak bawa semua anak, menantu dan cucu mandi pantai, tapi tak kesampaian sebab Allah lebih sayangkannya,” ujarnya.
Pasangan itu dikurniakan tujuh anak berusia antara 11 hingga 25 tahun dengan enam daripadanya perempuan.
Jenazah Allahyarham Fatah Ariffin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini.
Sementara itu, Thavamani berkata, pihaknya hadir bagi menyerahkan Faedah Pencen Penakat dan FPM berjumlah RM3,000 kepada keluarga arwah.
Beliau berkata, caruman PERKESO yang dibuat oleh majikan melayakkan waris menerima perlindungan sewajarnya.
"Balu arwah layak menerima pencen penakat seumur hidup, manakala lima anak berusia bawah 21 tahun layak menerimanya sehingga usia tersebut.
"Jika mereka menyambung pengajian ke peringkat pengajian tinggi, faedah itu akan diteruskan sehingga tamat ijazah pertama,” tambah beliau.
Ringkasan AI
- Fatah Ariffin Awang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas makan malam di rumahnya
- Sebelum meninggal, Rafidah sempat menyuap suaminya yang mengadu tangannya lemah dan tidak mampu memegang sudu
- Mereka mendapat kunjungan dari Skuad PERKESO Klang yang memberikan Faedah Pengurusan Jenazah dan pencen
- Fatah merancang mahu membawa keluarga bercuti ke Pulau Tioman selepas Aidilfitri tahun depan tetapi tak kesampaian
- Pasangan itu dikurniakan tujuh anak dan jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

