Tak sampai separuh hari dah kena dicekup

Tangkap layar rakaman CCTV suspek memasuki rumah mangsa.
Tangkap layar rakaman CCTV suspek memasuki rumah mangsa.
A
A
A

JEMPOL- Dalam tempoh kurang enam jam, dua lelaki termasuk seorang di bawah umur yang disyaki menyamun rumah seorang wanita warga emas di Felda Palong 8, di sini pada Isnin berjaya dicekup polis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan suspek memasuki rumah mangsa sambil mengacukan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, suspek yang memakai topeng muka berwarna hitam dan membawa sebilah pisau telah masuk ke dalam rumah mangsa pada jam 6.45 pagi.

"Suspek kemudian mengacukan pisau ke arah mangsa wanita berusia 68 tahun dan meminta tunjukkan tempatnya menyimpan wang.

"Mangsa memberitahu yang dalam rumahnya tiada wang tetapi suspek terus menyelongkar bilik tidurnya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, melihat suspek sibuk menyelongkar bilik tidurnya, mangsa telah melarikan diri keluar dari rumah melalui pintu belakang dan meminta bantuan daripada jiran untuk menghubungi pihak polis serta orang kampung.

Ujarnya, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi, namun suspek telah melarikan diri.

"Mangsa mendapati dua buah telefon bimbitnya yang diletak di atas katil dan barang kemas tiruan yang disimpan dalam beg kecil di bilik tidurnya telah hilang dan mengesyaki dicuri oleh suspek.

"Kedua-dua suspek berusia 30 dan 17 tahun berjaya ditahan antara jam 10 pagi hingga 11.45 pagi di sekitar Felda Palong 8," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norhisham berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 30 tahun mempunyai empat rekod jenayah lampau, dua kes dadah lampau dan satu kes dadah yang dikehendaki polis.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 20 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan menggunakan senjata.

 

 

Ringkasan AI

  • Dua lelaki termasuk seorang di bawah umur ditahan kerana menyamun rumah wanita warga emas di Felda Palong 8 dalam tempoh kurang enam jam
  • Rakaman CCTV jadi viral memaparkan suspek memasuki rumah mangsa dengan sebilah pisau
  • Suspek memakai topeng muka hitam dan bertindak mengacukan pisau kepada mangsa wanita berusia 68 tahun
  • Mangsa melarikan diri dan meminta bantuan dari jiran selepas suspek sibuk menyelongkar bilik
  • Suspek berusia 30 dan 17 tahun ditahan, suspek yang lebih tua mempunyai rekod jenayah dan kes dadah lampau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!