'Tak sampai 15 minit berpisah, suami pergi tinggalkan keluarga' — Isteri mangsa nahas

Anggota Bomba membantu mengeluarkan mangsa nahas di Kilometer 3.3, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, Pontian pada awal pagi Isnin. Foto JBPM Johor
Anggota Bomba membantu mengeluarkan mangsa nahas di Kilometer 3.3, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, Pontian pada awal pagi Isnin. Foto JBPM Johor
A
A
A

PONTIAN – “Tak sampai 15 minit kami berpisah, saya nampak dia rakam pesanan suara di telefon bimbit tapi tak sempat dihantar."

Demikian luahan Norfaqeah Oney, 25, yang masih terkejut dengan pemergian suaminya Mohd Aqil Naim Mohamad Tahar, 33, dalam nahas di Kilometer 3.3, Jalan Ayer Baloi-Bukit Batu, pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, detik pertemuan terakhir itu berlaku di rumah ibu mertuanya di Kampung Puteri Menangis pada jam 1.20 pagi sebelum suaminya bergerak bekerja di Bandar Pontian.

“Sebelum berpisah, suami salam dua kali, peluk dan cium saya beberapa kali. Dia cakap ‘hati-hati’ sebelum saya bergerak. Memang terasa pelik, tapi tak sangka itu pertemuan terakhir kami.

"Sekitar jam 1.40 pagi, saya lihat di telefon bimbit saya, suami merakam pesanan suara di telefon, namun pesanan suara itu tidak dihantar.

“Jam 1.52 pagi saya sempat tanya kepada suami mengenai pesanan suara itu, tetapi tidak dibalas," ujarnya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian pada Isnin.

Norfaqeah menunjukkan gambar kenangan keluarga ketika ditemui di Hospital Pontian pada Isnin.
Norfaqeah menunjukkan gambar kenangan keluarga ketika ditemui di Hospital Pontian pada Isnin.

Norfaqeah berkata, penantiannya berakhir apabila pada jam 3.20 pagi, dia dikejutkan dengan panggilan ahli keluarga yang memaklumkan suaminya sudah terbabit nahas.

Artikel Berkaitan:

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Tengah Benut, selepas solat Johor.

Pasangan itu dikurniakan dua anak iaitu Mohd Aqmar Fayyaz, 3 tahun, dan Norqaseh Fiona, 11 bulan.

Bercerita lanjut, surirumah itu memberitahu mereka membuat persiapan sambutan hari lahir anak bongsu pada 6 Disember diikuti majlis akikah pada 14 Disember.

“Kad jemputan dah siap, hadiah pun dah sedia, semua perancangan saya dan arwah sudah kami lakukan sejak bulan lepas, tapi hasrat arwah tak kesampaian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, maklumat berhubung nahas berkenaan diterima pada kira-kira jam 2.30 pagi membabitkan sebuah kenderaan jenis Honda Civic.

"Hasil siasatan awal mendapati kenderaan berkenaan bergerak dari Parit Panjang menuju ke Ayer Baloi sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke parit di sebelah kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat mengikur Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ringkasan AI

  • Tak sempat hantar pesanan suara sebelum kemalangan
  • Berpisah dengan suami di rumah ibu mertuanya
  • Suami meninggal dalam nahas pada awal pagi
  • Pasangan dikurniakan dua anak
  • Persiapan sambutan hari lahir anak bongsu dan majlis akikah tergendala

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!