'MB Kelantan bagi kerjasama begini, tak sampai hati nak tangguh' – PM

Anwar dan Mohd Nassuruddin semasa hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Sabtu. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Anwar dan Mohd Nassuruddin semasa hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu pada Sabtu. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – “Kalau Menteri Besar Kelantan beri kerjasama begini, kita pun tak sampai hati nak tangguh-tangguh.”

Demikian luah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menjawab cadangan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berhubung beberapa projek besar yang masih belum diluluskan.

Antara projek tersebut termasuk pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai, Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), serta pembinaan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan (CPPC) di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.

Anwar berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada projek mendesak seperti tambatan banjir, bekalan tenaga, air dan penghapusan kemiskinan tegar.

Menurut beliau, bagi merealisasikan konsep Persekutuan, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting.

“Ini yang cuba kita lakukan, sebab itu kita tentukan keutamaan dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) yang saya umumkan baru-baru ini di Parlimen.

“Sebelum ini perbincangan memang ada, tetapi di peringkat pegawai atau kementerian. Namun, dalam dua tahun ini, kita permudahkan dengan mengadakan sesi khas ketika turun ke negeri bagi memberi ruang kepada kepimpinan negeri menyampaikan input, selain memantau projek yang sedang berjalan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Sabtu.

Beliau memberitahu, ada projek yang diumumkan dengan peruntukan besar tetapi pelaksanaannya tergendala.

Ujarnya, perkara tersebut berlaku di banyak tempat, sebab itu rundingan perlu diteruskan supaya pelaksanaan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!