BN, GRS dahului kempen PRN Sabah

Ismail (gambar kecil) berpandangan kemunculan lebih 660,000 pengundi baharu daripada kategori Undi18 menjadikan undi belia sebagai penentu terbesar pilihan raya kali ini. Foto: Bernama
Ismail (gambar kecil) berpandangan kemunculan lebih 660,000 pengundi baharu daripada kategori Undi18 menjadikan undi belia sebagai penentu terbesar pilihan raya kali ini. Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai dua blok utama yang mendahului kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, sekali gus menjadikan persaingan paling seimbang dalam sejarah politik negeri itu.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ismail Rakibe berkata, trend sepanjang tempoh kempen menunjukkan dua faktor paling ketara mempengaruhi kecenderungan pengundi, iaitu tuntutan terhadap kestabilan politik dan gelombang undi anak muda sejak pelaksanaan Undi18 serta pendaftaran automatik.

Menurut beliau, sentimen kestabilan politik menjadi elemen paling dominan, khususnya dalam kalangan pengundi luar bandar dan separa bandar yang mahukan pentadbiran teratur serta mudah dijangka.

"Keputusan BN menampilkan hampir 80 peratus calon baharu memberi kesan psikologi positif kerana ia mempamerkan imej pembaharuan dengan rekod parti sebagai antara tulang belakang pentadbiran negeri pada era sebelumnya.

"Ia mewujudkan persepsi bahawa BN kembali sebagai pilihan yang lebih stabil, walaupun masih berdepan kekangan sumber berbanding penyandang," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Ismail berpandangan kemunculan lebih 660,000 pengundi baharu daripada kategori Undi18 menjadikan undi belia sebagai penentu terbesar pilihan raya kali ini.

Selain itu, data interaksi digital menunjukkan BN dan GRS antara gabungan paling menonjol dalam kalangan generasi muda menerusi platform TikTok dan Instagram Reels.

Namun, ujarnya, peningkatan sokongan terhadap calon-calon baharu dan lebih muda dalam BN dilihat sebagai faktor yang menggerakkan kecenderungan belia ke arah gabungan itu.

"Kecenderungan mereka menilai calon berdasarkan integriti, kebolehcapaian, penyelesaian isu-isu asas seperti air dan elektrik, serta gaya komunikasi yang lebih segar.

Artikel Berkaitan:

"Parti yang menawarkan pembaharuan calon kelihatan lebih menepati aspirasi pengundi muda yang tidak lagi terikat pada kesetiaan politik tradisional," katanya.

Sementara itu, Ismail turut menjangkakan hari terakhir kempen menjadi penentu penting, selari dengan tradisi politik Sabah yang sering menyaksikan perubahan momentum pada saat akhir.

Namun katanya, landskap kali ini mungkin berubah kerana pengaruh kempen digital yang jauh lebih aktif dan meluas berbanding pilihan raya sebelumnya.

"Unjuran keputusan 18–18 antara GRS dan BN menunjukkan bahawa pengundi Sabah kini membuat pilihan berdasarkan isu semasa, pengalaman seharian dan penilaian terhadap calon, bukan lagi garis ideologi.

"Pembentukan kerajaan Sabah selepas ini akan bergantung kepada rundingan antara parti, perbincangan antara blok utama, peranan blok pertengahan seperti Warisan dan Pakatan Harapan (PH) serta sokongan parti kecil yang berpotensi menjadi penentu dalam situasi DUN tergantung," jelasnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan dua blok utama dalam PRN Sabah ke-17
  • Tuntutan kestabilan politik dan gelombang undi anak muda adalah dua faktor utama mempengaruhi kecenderungan pengundi
  • BN menampilkan hampir 80 peratus calon baharu memberi kesan psikologi positif kepada pengundi
  • Lebih 660,000 pengundi baru daripada kategori Undi18 menjadikan undi belia sebagi penentu terbesar
  • Peningkatan sokongan terhadap calon-calon baharu dan lebih muda dalam BN dari kalangan pengundi muda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!