Hajiji tamat kempen PRN Sabah dengan ‘pecutan terakhir’ di dua DUN

Hajiji ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga (GRS) DUN Tanjung Keramat di Dewan Serbaguna Fasa 3, Kampung Meruntum pada petang Jumaat.
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga (GRS) DUN Tanjung Keramat di Dewan Serbaguna Fasa 3, Kampung Meruntum pada petang Jumaat.
A
A
A

PUTATAN – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menamatkan siri kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan ‘pecutan terakhir’ di dua kawasan tumpuan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat dan Pantai Manis, enam jam sebelum tempoh berkempen berakhir tepat jam 11.59 malam ini.

Di hadapan penyokong dan jentera parti, Hajiji berkata beliau yakin dengan kekuatan sokongan rakyat sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Daripada apa yang saya perhatikan, kempen-kempen jentera yang dilakukan oleh parti GRS begitu baik sekali walaupun terdapat juga kelemahan di sana-sini. Namun secara keseluruhannya, saya amat yakin dan kini kita serahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga (GRS) DUN Tanjung Keramat di Dewan Serbaguna Fasa 3, Kampung Meruntum, pada petang Jumaat.

Hajiji turut menambah bahawa laporan yang diterima dari seluruh negeri sepanjang tempoh kempen memberi petanda positif terhadap peluang pembentukan kerajaan di bawah gabungan berkenaan.

“Saya amat yakin berdasarkan laporan yang diterima, Insya-Allah kerajaan GRS dapat dibentuk tengah malam esok,” katanya.

DUN Tanjung Keramat diwakili Shah Alfie Yahya yang merupakan calon GRS dalam pertandingan 10 penjuru pada PRN kali ini.

Shah Alfie dalam pada itu menyifatkan baki enam jam sebelum tamat tempoh kempen masih merupakan masa yang panjang untuk terus mendekati pengundi.

“Kalau enam jam lagi, kita akan terus bersama pengundi dari rumah ke rumah seperti yang saya lakukan selama dua minggu ini dan saya akan kekalkan momentum tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Mana-mana pengundi atas pagar, kita dekati lagi. Bagi saya, enam jam itu masih panjang. Saya yakin dan akan terus bersama pengundi hingga ke akhir,” katanya, sambil menyifatkan sokongan terhadapnya semakin meningkat.

Sementara itu, dalam sesi kempen di Papar, Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa daerah itu akan berkembang lebih pesat sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Papar terdiri daripada calon GRS.

“Saya yakin jika ketiga-tiga ADUN di sini dari GRS, mereka dapat menggembleng usaha bersama Ahli Parlimen, Datuk Armizan Mohd Ali, untuk membangunkan Papar.

“Malah dalam tempoh lima tahun lalu, kerajaan negeri yang diterajui GRS telah membuktikan rekod pencapaiannya. Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan pembohongan yang dilemparkan oleh pembangkang dalam kempen mereka. Ada antara mereka sudah terbukti gagal.

“Mereka hanya mampu bertahan dua tahun setengah sebelum ditolak rakyat. Jadi, mengapa kita perlu beri mereka peluang?” katanya.

Tiga calon GRS di Papar ialah Datuk Gulamhaidar Bahadar Khan (DUN Kawang), Datuk Juil Nuatim (DUN Limbahau) dan Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (DUN Pantai Manis).

Sehubungan itu, Hajiji sekali lagi memberi jaminan bahawa pelbagai isu yang dibangkitkan oleh calon Pantai Manis, Pengiran Saifuddin akan ditangani sekiranya GRS kembali menjadi kerajaan negeri.

Ringkasan AI

  • Hajiji Noor menamatkan kempen PRN17 di DUN Tanjung Keramat dan Pantai Manis
  • Yakin dengan sokongan rakyat sepanjang kempen
  • Menerima laporan positif tentang peluang pembentukan kerajaan GRS
  • Menyatakan keyakinan pembangunan Papar jika GRS menang
  • Mengkritik pembangkang dan berjanji menangani isu jika GRS berkuasa lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!