PH tidak bolot kerusi PRN Sabah - Anwar

TUARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak pernah bersikap tamak selepas bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Anwar berkata, pembahagian kerusi dilakukan berasaskan semangat kerjasama sebuah negara dan antara parti.
Menurut beliau, PH hanya bertanding dalam jumlah kerusi yang kecil.
"Ini soal kerjasama, saudara (Datuk Seri) Hajiji Noor bukan Keadilan, dia GRS. Tapi GRS itu kerja baik dengan kita, jadi saya hormati.
"Ini semangat kita, bukan kita bolot. Kita bertanding pun tidak banyak, maknanya biar parti Sabah (banyak bertanding)," katanya ketika berucap sempena Program Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Tuaran, pada Khamis.
Mengulas isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak 40 peratus hasil Sabah, Anwar berkata, perkara itu pertama kali dalam sejarah dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Isu 40 peratus bukan senang mahu tengok, ini berbilion, bukan puluh juta. Hari Ini saya boleh tandatangan. Jadi saya kena bincang, tengok perjanjian, bila betul kita tunaikan.
"Perdana Menteri dulu ada tunaikan? Kerajaan Sabah dulu ada cakap soal ini? Ini kerajaan sekarang yang runding dan kita luluskan," katanya.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PH tidak bersikap tamak dalam bertanding kerusi DUN Sabah
- Pembahagian kerusi antara PH dan parti lain berasaskan semangat kerjasama
- PH bertanding dalam jumlah kerusi yang kecil di PRN Sabah
- Anwar menyatakan hormat kepada kerjasama dengan GRS dan bersemangat membiarkan parti Sabah bertanding lebih banyak
- Anwar juga menyinggung tentang persetujuan bersejarah berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak 40 peratus hasil Sabah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
