Malaysia tidak akan berjaya jika terus main sentimen negeri, daerah - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Negara tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang bakal dibentuk di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) akan memberikan sokongan untuk memastikannya.

"Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya.

"Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina di sini malam ini.

Anwar meletakkan harapan agar calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura, Vivian Wong Shir Yee; DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching dan DUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin boleh memperoleh majoriti mudah pada PRN Sabah ke-17.

Perdana Menteri juga berkata, Kerajaan Persekutuan akan membuat penyelarasan serta penambahbaikan terhadap pelaksanaan e-Invois serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi memudahkan syarikat kecil.

Beliau berkata, pengenalan e-Invois itu memang baik namun dari segi pelaksanaan adakalanya memberikan masalah kepada syarikat-syarikat kecil.

"Saya dengar permasalah itu dan sedia membuat penyelarasan namun saya tidak boleh umumkan sekarang kerana ini masa kempen.

"Saya nak beritahu juga kami (kerajaan Persekutuan) dengar, kami akan buat penyelarasan baik dari segi pelaksanaan e-Invois mahupun pelaksanaan SST,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri sesi santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamunting bersama Hiew.

Ketibaan beliau disambut meriah dengan pukulan kompang daripada Kumpulan Al-Falah Kampung Karamunting dan turut beramah mesra kira-kira 30 minit bersama masyarakat di kawasan berkenaan.

Anwar juga dijadual menghadiri Ceramah Perdana PMX Sayang Sabah bagi DUN Merotai yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Serbaguna Merotai, Tawau malam ini.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebook, Perdana Menteri menuntut belia Sabah untuk cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi serta menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara.

Beliau juga menegaskan kesinambungan kemajuan dan sinergi padu itu perlu diterjemahkan melalui pemilihan kepimpinan yang tepat khususnya sewaktu hari pengundian PRN Sabtu ini.

"Saya turut mengingatkan hadirin bahawa Kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun berbanding kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion dan bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, tindakan kerajaan itu merupakan bukti jelas usaha kerajaan Pusat untuk memastikan Sabah dipacu secara menyeluruh dan berterusan selain memastikan belia serta rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini. - Bernama

Ringkasan AI

  • Negara tidak akan berjaya jika kerajaan terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah
  • Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan negeri perlu menjalin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan
  • Pelaksanaan e-Invois dan SST akan diselaraskan untuk memudahkan syarikat kecil
  • Perdana Menteri menaruh harapan pada calon PH untuk memperoleh majoriti di PRN Sabah
  • Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun untuk memastikan pembangunan menyeluruh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!