Bomba laksana pemantauan setiap 4 jam di kawasan berisiko di Kuala Krai

Bomba melaksanakan pemantauan Sungai Kelantan di Tangga Krai.  - Gambar kecil (Nik Ahmad Afsham)
Bomba melaksanakan pemantauan Sungai Kelantan di Tangga Krai.  - Gambar kecil (Nik Ahmad Afsham)
A
A
A

KUALA KRAI – Pasukan Bomba dan Penyelamat di daerah ini melaksanakan pemantauan setiap empat jam di kawasan berisiko termasuk Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Manek Urai, susulan peningkatan paras air di kawasan rendah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, rondaan tersebut dilaksanakan oleh 50 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai serta BBP Sungai Durian.

“Antara kampung yang mula dinaiki air ialah Kampung Bedah, Kampung Bukit Sirih, Chenulang, Kampung Pisang dan Pasir Jering.

“Kami akan terus melakukan pemantauan kerana keadaan cuaca tidak menentu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pemantauan dijalankan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot, termasuk pemeriksaan berkala di anak-anak sungai utama yang mengalir ke Sungai Kelantan.

“Rondaan dilakukan setiap empat jam bagi mendapatkan gambaran sebenar paras air dan risiko kepada penduduk.

“Pada Rabu, beberapa lokasi rendah telah mencatat paras air melebihi satu meter,” katanya.

Nik Afsham berkata, pergerakan air di Kuala Krai bergantung kepada aliran dari kawasan hulu seperti Gua Musang dan kenaikan paras air di Sungai Kelantan lazimnya mengambil masa sekiranya hujan berterusan.

“Jika hujan dua hari berturut-turut, kenaikan paras air di Sungai Kelantan akan memberi kesan kepada kawasan bandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat ini, seramai 362 mangsa daripada 122 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Mial, Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang, Masjid Kuala Pertang, Dewan Belia Kampung Bedal, Balai Raya Sungai Tasan Kuala Pertang dan Surau Dusun Ban.

Ringkasan AI

  • Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai melakukan pemantauan setiap empat jam di kawasan berisiko akibat peningkatan paras air Sungai Kelantan
  • Rondaan dilaksanakan oleh 50 pegawai dan anggota daripada BBP Kuala Krai serta BBP Sungai Durian
  • Kampung seperti Bedah, Bukit Sirih, Chenulang, Pisang dan Pasir Jering mulai dinaiki air
  • Pemantauan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot termasuk di anak-anak sungai utama
  • Seramai 362 mangsa daripada 122 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!