Kes pendaki maut di Gunung Liang: Polis rakam keterangan lapan individu

Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan polis, Mustaqqeem meninggal dunia akibat hipotermia
Laporan Sinar Harian berhubung kenyataan polis, Mustaqqeem meninggal dunia akibat hipotermia
A
A
A

TANJUNG MALIM – Polis telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan meninggal dunia di Gunung Liang, di sini, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, kesemua individu terbabit merupakan peserta dan rakan pendaki kepada mangsa yang menyertai misi pendakian tersebut.

“Baki tiga lagi pendaki yang turut serta dalam ekspedisi akan dipanggil kemudian bagi melengkapkan siasatan.

“Mereka dikesan pulang terus selepas tiba di kaki gunung disebabkan urusan kerja dan cuti,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, pada Ahad.

Suhaimi berkata, penganjur aktiviti pendakian itu juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian Allahyarham disebabkan hipotermia atau kesejukan melampau hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Slim River.

Mustaqqeem ditemukan meninggal dunia pada jam 3.30 petang, Khamis, di puncak Gunung Liang dan jenazahnya dibawa keluar dari gunung berketinggian 1,933 meter itu menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba pada Jumaat.

Allahyarham memulakan pendakian bersama lapan peserta dipandu dua malim gunung pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang, dan kali terakhir dilihat di puncak gunung berkenaan sekitar jam 10.30 malam, Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis merakam percakapan lapan individu terkait kematian Mustaqqeem Mansor di Gunung Liang
  • Individu terbabit adalah peserta dan rakan pendaki
  • Tiga lagi pendaki akan dipanggil untuk siasatan
  • Penganjur aktiviti pendakian juga akan dipanggil
  • Mustaqqeem meninggal akibat hipotermia dan jenazahnya dibawa keluar menggunakan helikopter AW189

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!