Trump arah 500 Pengawal Kebangsaan jaga Rumah Putih

WASHINGTON DC – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan 500 anggota Pengawal Kebangsaan mengawal sekitar Rumah Putih susulan kejadian tembak-menembak yang mencederakan dua anggota pasukan itu pada Rabu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth memandangkan Trump berada di Florida ketika insiden berlaku.
Menurut Penolong Ketua Polis Metropolitan, Jeff Carroll dalam satu sidang media, kedua-dua mangsa ditembak sekitar jam 2 petang waktu tempatan berhampiran persimpangan 17th dan I Street, tidak jauh dari Rumah Putih oleh seorang suspek yang tiba-tiba muncul untuk melakukan serangan hendap.
“Selepas berbalas tembakan, anggota Pengawal Kebangsaan lain berjaya menundukkan suspek,” jelasnya.
Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel pula memaklumkan bahawa dua anggota yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di hospital.
Kedua-duanya difahamkan merupakan sebahagian daripada pasukan rondaan berprofil tinggi.
Gabenor West Virginia, Patrick Morrisey dalam satu hantaran di X pada awalnya memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan.
Namun tidak lama kemudian, beliau mengeluarkan kenyataan kedua menyatakan terdapat ‘laporan bercanggah’ mengenai keadaan mereka.
Motif kejadian tembakan masih belum diketahui, namun pihak berkuasa percaya suspek bertindak secara bersendirian.
Identiti suspek dan mangsa belum didedahkan kepada umum setakat ini.
Trump kini berada di resortnya di Palm Beach menjelang cuti Thanksgiving pada Khamis, manakala Naib Presiden AS, JD Vance berada di Kentucky. Ini menyebabkan Rumah Putih berada dalam status ‘lockdown’.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Trump menyifatkan suspek sebagai “binatang yang akan membayar harga yang sangat tinggi”, sambil memuji tindakan pantas anggota Pengawal Kebangsaan.
Beberapa saksi menggambarkan suasana kacau-bilau apabila orang ramai bertempiaran lari sebaik sahaja tembakan dilepaskan.
Seorang saksi, Mike Ryan, 55, melihat dua anggota Pengawal Kebangsaan terbaring di seberang jalan, manakala orang ramai cuba memberikan bantuan pernafasan kepada salah seorang daripada mereka.
Pada masa sama, anggota pengawal lain telah menahan seorang individu di atas tanah yang dipercayai suspek.
Seorang lagi saksi, Emma McDonald berkata, dia melihat salah seorang mangsa dibawa menggunakan pengusung beberapa minit selepas kejadian, dengan kepalanya berlumuran darah dan sistem pemampatan automatik dipasang pada dadanya. – Agensi
Ringkasan AI
- Presiden AS, Donald Trump mengarahkan 500 Pengawal Kebangsaan mengawal Rumah Putih susulan insiden tembak-menembak
- Dua anggota Pengawal Kebangsaan cedera kritikal dan dirawat di hospital akibat serangan tersebut
- Insiden berlaku di dekat persimpangan 17th dan I Street, tidak jauh dari White House
- Gabenor West Virginia, Patrick Morrisey pada mulanya mengumumkan kedua-dua mangsa meninggal, tetapi kemudian menyatakan terdapat laporan bercanggah tentang keadaan mereka
- Motif dan identiti suspek serta mangsa masih belum diketahui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

