Suspek tembak anggota Pengawal Kebangsaan warga Afghanistan

WASHINGTON -- Suspek dalam insiden tembakan terhadap dua anggota Pengawal Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) berhampiran Rumah Putih pada Rabu dikenal pasti sebagai seorang warga Afghanistan yang memasuki negara itu pada 2021, lapor Xinhua memetik laporan media AS.
Suspek, Rahmanullah Lakanwal, 29, dilaporkan menetap di negeri Washington, menurut NBC News yang memetik sumber penguat kuasa kanan.
Pihak berkuasa masih berusaha mengesahkan butiran lengkap mengenai individu yang kini ditahan, menurut laporan itu.
Serangan berlaku sekitar 2.15 petang waktu tempatan berhampiran Stesen Metro Farragut Square, menurut kenyataan Pasukan Petugas Bersama DC, yang menyelia penugasan Pengawal Kebangsaan di Washington.
Dalam satu hantaran di media sosial, Presiden AS Donald Trump berkata, kedua-dua anggota terbabit cedera parah dan dirawat di dua hospital berasingan, sementara penembak juga mengalami kecederaan serius.
Gabenor West Virginia, Patrick Morrisey dalam satu hantaran di platform X mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa adalah anggota Pengawal Kebangsaan West Virginia.
Ketika insiden berlaku, Trump berada di resortnya di Palm Beach sempena sambutan Hari Kesyukuran pada Khamis, manakala Naib Presiden AS JD Vance berada di Kentucky, menurut laporan Reuters.
"Rumah Putih sedar dan sedang memantau rapat situasi tragis ini. Presiden telah dimaklumkan,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth berkata pada Rabu bahawa Trump telah mengarahkan beliau menempatkan 500 anggota Pengawal Kebangsaan tambahan ke Washington.
Ketika ini, lebih 2,000 anggota Pengawal Kebangsaan sedang bertugas di Washington, menurut beberapa laporan media. - Bernama
Ringkasan AI
- Suspek dalam insiden tembakan terhadap dua anggota Pengawal Kebangsaan AS adalah warga Afghanistan yang memasuki negara itu pada 2021
- Menetap di negeri Washington
- Kejadian berlaku berhampiran Stesen Metro Farragut Square
- Kedua-dua anggota Pengawal Kebangsaan cedera parah dan dirawat di dua hospital berasingan
- Trump mengarahkan penempatan 500 anggota Pengawal Kebangsaan tambahan ke Washington
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
