Bank Islam tawar bantuan kewangan kepada pelanggan terjejas banjir

Bank Islam mengumumkan bantuan kewangan untuk PMKS terjejas dan pelanggan individu terkesan banjir.
Bank Islam mengumumkan bantuan kewangan untuk PMKS terjejas dan pelanggan individu terkesan banjir.
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) pada Rabu mengumumkan bantuan kewangan yang mengutamakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terjejas serta sokongan untuk pelanggan individu terkesan dengan situasi banjir melanda beberapa kawasan di seluruh negara ketika ini.

Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, bantuan bagi PMKS ialah program pembiayaan Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) untuk perniagaan di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai kawasan bencana banjir.

Menurut bank itu lagi, di bawah kemudahan ini, PMKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan untuk membaik pulih atau menggantikan aset perniagaan yang rosak seperti kilang pembuatan dan mesin serta modal kerja asas.

"Moratorium sehingga enam bulan turut ditawarkan kepada pelanggan PMKS Bank Islam sedia ada di kawasan bencana banjir yang ditetapkan oleh Nadma.

"Bantuan kewangan ini merangkumi semua kemudahan kredit dengan pembayaran yang dijadualkan atau perlu dibayar mengikut kontrak, termasuk Kemudahan Pembiayaan Berjangka, Kredit Pusingan & Talian Tunai serta Perdagangan.

"Program Pembiayaan RAFt juga disediakan bagi para pelanggan yang berada di kawasan berpotensi untuk mengalami bencana serupa pada masa hadapan," kata bank berkenaan.

Bank Islam dalam kenyataan sama turut memaklumkan, pihaknya turut meneruskan semula Program Prihatin Banjir untuk pelanggan pembiayaan individu membabitkan Pembiayaan-i Rumah, peribadi dan kenderaan yang terjejas bencana untuk memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan, tertakluk kepada terma dan syarat berkaitan.

Selain itu, bank berkenaan turut menawarkan penggantian percuma untuk Kad Kredit dan Debit-i serta buku cek yang rosak atau hilang.

"Permohonan bantuan kewangan boleh dikemukakan di cawangan Bank Islam terdekat dalam tempoh tiga bulan selepas kejadian. Maklumat lanjut mengenai bantuan yang disediakan boleh diperoleh di laman web korporat Bank Islam di www.bankislam.com.

Artikel Berkaitan:

"Pelanggan Pembiayaan-i Perniagaan yang terjejas boleh membuat pertanyaan dan memohon bantuan di cawangan Bank Islam terdekat atau melalui e-mel dismeassist@bankislam.com.my," menurut bank itu.

Ringkasan AI

  • Bank Islam mengumumkan bantuan kewangan untuk PMKS terjejas dan pelanggan individu terkesan banjir
  • Bantuan termasuk pembiayaan Kemudahan Bantuan dan Adaptasi (RAFt) bagi PMKS di kawasan bencana banjir
  • Moratorium sehingga enam bulan untuk pelanggan PMKS Bank Islam
  • Pembiayaan individu terjejas bencana boleh memohon penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga enam bulan
  • Bank Islam menawarkan penggantian percuma untuk Kad Kredit dan Debit-i serta buku cek rosak atau hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!