Ikan lumba-lumba ditemui terdampar di Sabak Bernam

DOF dibantu penduduk setempat mengambil data lengkap ke atas bangkai ikan lumba-lumba yang ditemui di pesisir pantai Sabak Bernam pada Selasa. Foto: DOF Selangor
DOF dibantu penduduk setempat mengambil data lengkap ke atas bangkai ikan lumba-lumba yang ditemui di pesisir pantai Sabak Bernam pada Selasa. Foto: DOF Selangor
A
A
A

SABAK BERNAM – Bangkai seekor ikan lumba-lumba spesies Indo-Pacific Bottlenose Dolphin (Tursiops aduncus) ditemui terdampar di D’Muara Marine Park di sini pada Selasa.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, satu laporan menerusi aplikasi WhatsApp diterima pihaknya berhubung penemuan mamalia marin itu oleh penduduk kampung setempat.

Menurutnya, pegawai dan kakitangan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan, Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Selangor telah turun ke lokasi kejadian.

"Ikan lumba-lumba itu berukuran panjang 221 sentimeter dan anggaran berat 120 kilogram.

“Kakitangan DOF Selangor dengan dibantu penduduk kampung telah mengambil data lengkap mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh DOF termasuk sampel gigi dan kulit bagi tujuan semakan asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Poster DOF melampirkan kesedaran kepada orang awam berkenaan prosedur sekiranya menemui mamalia marin.
Poster DOF melampirkan kesedaran kepada orang awam berkenaan prosedur sekiranya menemui mamalia marin.

Beliau berkata, data-data berkaitan kejadian telah direkodkan sebagai sebahagian daripada pemantauan kes kedamparan ikan lumba-lumba di Selangor.

Tambahnya, bangkai haiwan tersebut telah ditanam berhampiran kawasan berkenaan untuk tujuan pelupusan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Noraisyah, pelbagai faktor yang boleh menjadi punca kematian ikan lumba-lumba seperti terdampar disebabkan oleh arus atau tersesat, tersangkut kepada jaring atau pukat hantu, pelanggaran dengan kapal dan sebagainya.

"Faktor alam seperti ribut dan air pasang besar juga boleh menjadi penyebab kepada kematian ikan tersebut.

“Pihak kami menyeru dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak agar dapat melaporkan sebarang kejadian kematian mamalia marin yang dikesan di perairan Negeri Selangor agar tindakan lanjut dapat diambil oleh jabatan," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!