Pempengaruh didakwa guna gelaran Datuk palsu

AMPANG - Seorang pempengaruh wanita didakwa menggunakan gelaran Datuk palsu di media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai.
Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia (MDDM), Datuk Samson David Maman berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan pempengaruh itu pada 17 November lalu.
“Wanita berkenaan memaparkan dirinya di media sosial sebagai penerima gelaran Datuk Panglima Wilayah (DPW). Semakan pihak MDDM mendapati gelaran itu palsu dan tidak wujud secara rasmi.
“Wanita itu kemudian menukar gelaran kepada Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang sah di Wilayah Persekutuan, tetapi namanya masih tidak terdapat dalam senarai penerima rasmi,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini pada Rabu.
Samson berkata, MDDM menegaskan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang di-Pertua Negeri berkuasa menganugerahkan gelaran Datuk atau Dato’ di Malaysia mengikut Akta Kesalahan Berkaitan Anugerah 2017 (Akta 787).
“Dakwaan pempengaruh menerima gelaran melalui yayasan menyalahi undang-undang dan mencemar integriti sistem anugerah negara.
“Susulan itu, MDDM membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap pempengaruh dan pihak yayasan terbabit,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pempengaruh wanita didakwa menggunakan gelaran Datuk palsu di media sosial
- Presiden MDDM, Datuk Samson David Maman menyatakan laporan tentang pempengaruh itu diterima pada 17 November
- Pempengaruh itu mendakwa dirinya sebagai Datuk Panglima Wilayah yang ternyata gelaran palsu dan tidak wujud
- Wanita itu menukar gelaran kepada Panglima Mahkota Wilayah namun namanya tidak terdapat dalam senarai penerima rasmi
- MDDM membuat laporan polis untuk siasatan terhadap pempengaruh dan yayasan yang terlibat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
