Tukang paip dituduh bunuh ibu tunggal

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada pagi Jumaat untuk didakwa di atas pertuduhan membunuh.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada pagi Jumaat untuk didakwa di atas pertuduhan membunuh.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang tukang paip dihadapkan ke Mahkamah Majistret 2 di sini atas pertuduhan membunuh seorang wanita di sebuah rumah flat pada 4 Februari lalu.

L Ravinder, 40, yang memakai baju T berwarna biru dan berseluar pendek didakwa membunuh C Kanagee, 41, di sebuah rumah beralamat No G-21, Lorong Seri Murni 2, Taman Seri Murni antara jam 9.30 hingga 9.41 pagi.

Oleh demikian, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun yang boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan.

Tertuduh yang berasal dari Bukit Mertajam itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh. Kes ditangguhkan sehingga 31 Mac depan untuk laporan bedah siasat, forensik dan kimia.

Difahamkan, tertuduh merupakan teman lelaki kepada mangsa dan telah menjalin hubungan bersama sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam tersebut didakwa telah bertengkar dengan mangsa sebelum kejadian tersebut berlaku.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan seorang ibu tunggal ditemui mati dengan kesan kelar pada bahagian leher dalam kejadian di sebuah rumah di tingkat satu sebuah flat.

Mangsa berusia 41 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang selepas jiran mendapati mangsa yang juga seorang ibu tunggal tidak memberikan sebarang respons walaupun pintu rumahnya terbuka, namun pagar jeriji didapati berkunci.

Mangsa dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun.

Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan, terdapat kesan kelar pada leher mangsa dipercayai disebabkan oleh senjata tajam.

Tambahnya, tiada kesan pergelutan menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya selain mangsa juga dipercayai diserang dari arah belakang.

Susulan daripada itu, polis menahan tiga lelaki berusia lingkungan 38 hingga 45 tahun dalam tempoh kurang tiga jam selepas menerima laporan kejadian.

Seorang daripada suspek disahkan positif dadah jenis ketamin.

Ringkasan AI

  • Tukang paip didakwa membunuh wanita di flat pada 4 Februari
  • Tertuduh, L Ravinder didakwa membunuh C Kanagee dan menghadapi hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun
  • Kes tersebut kini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi tanpa jaminan ditawarkan kepada tertuduh
  • Tertuduh dan mangsa dikatakan mempunyai hubungan selama lima tahun sebelum kejadian berlaku
  • Mangsa, ibu tunggal, ditemui mati dengan kesan kelar pada leher di rumahnya, dipercayai diserang dari belakang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!