Kes tembak, tetak di Sendayan mungkin ada kaitan kongsi gelap - Polis

KUALA PILAH - Polis tidak menolak kemungkinan kaitan kumpulan kongsi gelap dalam kejadian tembak dan tetak seorang lelaki di Nusari Biz Sendayan, di sini pada awal pagi 19 November lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, empat suspek lelaki warga tempatan telah ditahan setakat ini bagi membantu siasatan.
"Mereka berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an ditahan pada 21 dan 22 November.
"Kesemua mereka masih dalam reman. Dua suspek pertama akan tamat reman pada hari ini dan kita akan sambung lagi untuk meneruskan siasatan manakala dua lagi suspek akan tamat reman pada 28 November," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia di Kampung Parit Seberang di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.
Mengulas lanjut Alzafny berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan operasi untuk mengenal pasti suspek yang terlibat dan setakat ini 10 saksi sudah dirakamkan percakapan.
Mengenai motif kejadian beliau berkata, pihaknya masih lagi mengenal pasti punca kejadian, namun keempat-empat yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk jenayah kekerasan, samun dan dadah.
"Kalau kita tengok kepada mangsa sendiri, dia juga mempunyai banyak rekod jenayah. Kemungkinan kejadian ini berlaku disebabkan aktiviti kongsi gelap atau kumpulan atau geng," katanya.
Ditanya sama ada mangsa dan suspek mempunyai hubungan, Alzafny berkata, berdasarkan siasatan setakat ini, kedua-dua pihak terbabit dengan kes samun di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
"Kami masih mengesan suspek lain yang terbabit dalam kes ini dan memerlukan lebih ramai lagi saksi untuk tampil memberi maklumat serta keterangan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Negeri Sembilan tidak selamat susulan kejadian terbabit.
"Kalau ikut kepada rekod jenayah indeks yang berlaku di Negeri Sembilan dari Januari hingga Oktober tahun ini, berlaku penurunan.
"Contohnya, bagi jenayah harta benda sehingga Oktober tahun ini merekodkan 1,402 kes iaitu menurun kalau dibandingkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
"Begitu juga jenayah kekerasan, kita tengok ada 383 kes dicatatkan pada tahun 2024 dan pada 2025 sebanyak 307 kes sahaja," katanya.
Ringkasan AI
- Polis tidak menolak kaitan kumpulan kongsi gelap dalam kejadian tembak dan tetak di Nusari Biz Sendayan
- Empat suspek lelaki warga tempatan telah ditahan untuk membantu siasatan
- Siasatan dan operasi sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek yang terlibat
- Setakat ini 10 saksi sudah dirakamkan percakapan
- Motif kejadian masih dalam siasatan tetapi suspek mempunyai rekod jenayah termasuk jenayah kekerasan, samun dan dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

