Penterjemah profesional antara 16 warga Rohingya mengaku bersalah sertai pertubuhan haram


BUKIT MERTAJAM - 16 lelaki warga Rohingya termasuk seorang penterjemah profesional dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang negara.
Kesemua mereka tiba di mahkamah sambil dikawal ketat oleh anggota polis pada jam 8.45 pagi itu dituduh secara berasingan di mahkamah berbeza pada pagi Rabu.
Di Mahkamah Majistret 1, sembilan daripada tertuduh iaitu jurubahasa, Muhammad Islam Sultan Ahmad, 56, Mohd Islam Mir Ahmad, 54, Hamid Huson Ismail, 45, Nurul Amin Abdul Munaf, 45, Enamul Haque Mohammed Hussein, 43, Abdul Hamid Ahmad Husaim, 29, Mohamad Nur Mustak Ahmad, 32, Abdul Kudus Daul Rahman, 42, dan Sayed Amin Ruhul Amin,36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa telah memegang jawatan ahli jawatankuasa Pertubuhan Islam Untuk Kemajuan Rohingya Malaysia yang merupakan pertubuhan menyalahi undang-undang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lorong Tingkat Ciku 5, Taman Ciku, di sini kira-kira jam 3 petang pada 19 November lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Y Anbananthan.
Anbananthan dalam rayuannya memohon hukuman minima dikenakan terhadap anak guamnya susulan pertubuhan terbabit ditubuhkan bagi membantu kebajikan komuniti Rohingya setempat dan bukan untuk aktiviti kekerasan.
“Permohonan pendaftaran pertama pertubuhan ini telah ditolak dan mereka kini dalam proses mengemukakan rayuan kedua, namun sebelum proses itu selesai mereka telah ditangkap.
“Pertubuhan ini tidak terbabit dalam kekerasan atau melibatkan sebarang mangsa, selain pendakwaan hari ini juga bukan di bawah Kanun Keseksaan. Saya turut memohon mahkamah mengambil kira bahawa mereka telah direman selama tujuh hari sebelum dibawa ke mahkamah hari ini,” katanya.
Nurul Rasyidah kemudiannya mengingatkan kesemua tertuduh yang tinggal di negara ini untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Malaysia telah memberikan kebenaran atas dasar perikemanusiaan kepada kamu untuk tinggal di sini setelah diusir dari negara sendiri.
“Diharapkan selepas ini, kamu semua mendapat pengajaran dan mematuhi undang-undang,” katanya.
Dalam penghakimannya, Nurul Rasyidah telah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap tertuduh dan enam bulan penjara jika gagal bayar.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, Jaafar Ahmed Mohammad Shafi, 55, Mubarak Husain Mohammad Islam, 40, Hamid Khan Kalamiah, 41, Mohamad Yunus Ismail Shorif, 34, Abu Siddiq Mohammad Husson,41; Nur Hussain Abu Shama, 43, Syed Hussain Oli Ahmed, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan sama yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan.
Kesemua mereka membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Roshayati menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua tahun penjara jika gagal bayar terhadap semua tertuduh.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan manakala kesemua tertuduh diwalili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nursyafiqah Zainudin.
Kesemua tertuduh telah berkahwin dan mempunyai anak selain bekerja sebagai pencuci, mengajar kanak-kanak mengaji, bekerja sendiri dan bekerja kampung dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM1,500.
Ada antara mereka telah tinggal di Malaysia sehingga 30 tahun.
Ringkasan AI
- 16 lelaki warga Rohingya termasuk seorang penterjemah profesional didakwa menyertai pertubuhan haram
- Sembilan daripada mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret 1
- Pertubuhan tersebut didakwa sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang di Malaysia
- Peguam memohon hukuman minima atas asas pertubuhan tersebut membantu kebajikan komuniti Rohingya
- Hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara dikenakan terhadap setiap tertuduh di Mahkamah Majistret 1, sementara di Mahkamah Majistret 2 denda RM2,000 atau dua tahun penjara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

