Lima pos PGA di sempadan Sungai Golok ditenggelami banjir

PASIR MAS — Lima pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan sempadan Sungai Golok di sini ditenggelami banjir setinggi semeter hingga tiga meter susulan peningkatan paras air akibat hujan lebat.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, banjir itu menyebabkan anggota dan aset operasi terpaksa dipindahkan ke lokasi selamat.
“Setakat ini, lima pos di Pasir Mas dikenal pasti terjejas iaitu Pos Ibrahim Pencen, Pos Sharifah, Pos Terusan, Pos Pulau dan Pos Haiwan.
“Setiap pos mempunyai empat anggota dan mereka dipindahkan bersama aset-aset kerajaan ke Markas Taktikal Taman Bakti,”katanya pada sidang akhbar selepas lawatan ke Pos PGA Pak Teh Kana di Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima dua pos baharu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran termasuk Pos PGA Pak Teh Kana yang tidak terjejas pada banjir gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL) setakat ini.

Katanya, pos itu menggantikan pos lama susulan berada dalam kawasan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).
Beliau berkata, ia merupakan lawatan pertamanya ke Kelantan bagi memantau keadaan banjir yang diakui memberi cabaran kepada operasi pihaknya di sempadan.
Ahmad Radzi menegaskan bahawa PGA meningkatkan kawalan melalui penggunaan bot bagi mengekang pembolosan penyeludup yang sering cuba mengambil kesempatan ketika banjir.
“Apabila sempadan ditenggelami air, garis pemisah negara kita seakan hilang.
“Kami gunakan bot, tingkatkan rondaan air dan menggunakan dron untuk mengesan pergerakan mencurigakan dan penyeludupan,” katanya.
Mengulas kekuatan semasa beliau berkata, Briged Tenggara mempunyai 339 pegawai dan anggota selain berharap dapat memperluas pemasangan kawat duri yang seperti di tiga jeti haram yang dirobohkan pada bulan lepas.
“Sempadan darat di Kelantan ni sejauh 128 kilometer manakala sungai 98 kilometer.
“Jadi, perlu perluas pagar sementara ini sebagai halangan sindiket jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran sementara menunggu pembinaan tembok sempadan kekal,” katanya.
Ringkasan AI
- Lima pos Pasukan Gerakan Am di sempadan Sungai Golok, Pasir Mas tenggelam akibat banjir
- Anggota dan aset dipindahkan ke lokasi selamat
- Kawasan yang terjejas meliputi Pos Ibrahim Pencen, Pos Sharifah, Pos Terusan, Pos Pulau dan Pos Haiwan
- PGA menerima dua pos baharu tidak terjejas oleh banjir
- PGA meningkatkan kawalan sempadan menggunakan bot dan dron untuk mengesan penyeludupan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

