Vietnam dilanda banjir besar

Laluan utama menuju ke pusat Nha Trang, sebuah bandar pelancongan popular, terputus sepenuhnya akibat banjir yang melanda..
Laluan utama menuju ke pusat Nha Trang, sebuah bandar pelancongan popular, terputus sepenuhnya akibat banjir yang melanda..
A
A
A

NHA TRANG – Sekurang-kurangnya 41 orang maut manakala sembilan lagi masih hilang akibat hujan lebat yang berterusan sejak hujung minggu lalu sehimgga menyebabkan banjir meluas di kawasan tengah Vietnam, menurut pihak berkuasa pada Khamis.

Banjir itu telah menenggelamkan lebih 52,000 rumah dan menjejaskan hampir setengah juta rumah dan premis perniagaan, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik secara meluas.

Bandar pesisir Nha Trang, destinasi pelancongan terkenal dengan pantainya yang indah, dilanda banjir sehingga menenggelamkan ratusan kenderaan dan menjejaskan kehidupan penduduk.

Dalam tempoh tiga hari terakhir, jumlah hujan melebihi 1.5 meter di beberapa kawasan, dengan sebahagian lokasi mencatat paras lebih tinggi berbanding banjir terburuk 1993 yang mencapai 5.2 meter, menurut Jabatan Meteorologi Nasional.

Di Dak Lak, air banjir juga telah meyebabkan 100 tong asid sulfurik 20 liter dari sebuah kilang gula rosak, menimbulkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada penduduk.

Operasi menyelamat dijalankan menggunakan bot di wilayah Gia Lai dan Dak Lak yang mana pasukan penyelamat terpaksa membuka tingkap dan bumbung rumah bagi membantu penduduk yang terperangkap.

Seorang lelaki menempuh air banjir berhampiran kenderaan yang tenggelam di Nha Trang, wilayah pesisir Khanh Hoa, Vietnam. Foto: AFP
Seorang lelaki menempuh air banjir berhampiran kenderaan yang tenggelam di Nha Trang, wilayah pesisir Khanh Hoa, Vietnam. Foto: AFP

Kementerian Alam Sekitar melaporkan hampir 62,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat, manakala beberapa jalan utama masih tertutup akibat tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

Di kawasan tinggi Da Lat, tanah runtuh turut melumpuhkan akses jalan raya. Hotel dan premis pelancongan terpaksa menutup operasi, dengan pelancong membatalkan lawatan mereka.

Sekitar 100 meter jalan di laluan Mimosa Pass ditutup selepas tanah runtuh pada Rabu, manakala dua laluan lain turut ditutup kerana risiko sama, menurut media tempatan Tuoi Tre News.

Digantung 

Kereta api antara utara dan selatan Vietnam juga digantung sementara akibat banjir, menurut syarikat kereta api negara.

Hospital di kota pesisir Quy Nhon terpaksa bertahan dengan bekalan makanan dan air minimum selama tiga hari sebelum bantuan sampai.

Timbalan Perdana Menteri Ho Quoc Dung mengarahkan tentera, polis dan pasukan keselamatan digerakkan untuk memastikan pemindahan penduduk berjalan lancar serta menyampaikan bantuan makanan dan air bersih.

Air banjir yang melimpah di laluan kereta api berhampiran Nha Trang sehingga menyebabkan laluan Utara–Selatan digantung.
Air banjir yang melimpah di laluan kereta api berhampiran Nha Trang sehingga menyebabkan laluan Utara–Selatan digantung.

Pihak berkuasa terus memantau paras sungai dan menasihati penduduk supaya menjauhi kawasan berisiko.

Tekanan 

Bencana ini menambah tekanan kepada Vietnam yang sebelum ini terjejas akibat Taufan Kalmaegi dan Bualoi, dengan kerugian melebihi AS$2 bilion (RM8.3 bilion) antara Januari hingga Oktober 2025, menurut statistik kerajaan.

Para pakar meteorologi menegaskan bahawa perubahan iklim yang dipacu aktiviti manusia meningkatkan kekerapan berlakunya cuaca ekstrem, menjadikan negara itu lebih terdedah kepada bencana pada musim hujan antara Jun hingga September.

Banjir terkini menekankan keperluan tindakan segera dan pengurusan risiko bencana yang efektif untuk melindungi nyawa serta harta benda masyarakat selain meningkatkan kesedaran penduduk terhadap ancaman cuaca ekstrem.-AFP

Banjir di Vietnam (Oktober–November 2025)

Lokasi: Tengah Vietnam – Nha Trang (Khanh Hoa), Gia Lai, Dak Lak, Da Lat, Binh Dinh.

Punca: Hujan lebat berterusan, paras sungai tinggi, tanah runtuh; perubahan iklim memperburuk cuaca ekstrem.

Kawasan bandar Vinh Diem Trung dinaiki air banjir menyebabkan banyak kereta tersekat.
Kawasan bandar Vinh Diem Trung dinaiki air banjir menyebabkan banyak kereta tersekat.

Mangsa dan Kerosakan:

- 41 maut, 9 hilang.

- 52,000 rumah ditenggelami, 62,000 penduduk dipindahkan.

- Jalan raya, laluan keretapi terputus; bekalan elektrik terganggu.

- Hospital dan premis perniagaan terjejas; kawasan pelancongan terpaksa tutup.

 

Ringkasan AI

  • Lebih 41 orang maut dan 9 hilang akibat banjir di tengah Vietnam termasuk Nha Trang
  • Banjir tenggelami lebih 52,000 rumah dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik
  • Jumlah hujan melebihi 1.5 meter dalam tempoh tiga hari, lebih tinggi daripada banjir terburuk 1993
  • Risiko kesihatan dan keselamatan akibat 100 tong asid sulfurik terjejas di Dak Lak
  • Tindakan segera dan pengurusan risiko bencana ditekankan untuk melindungi nyawa dan harta benda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!