JK Rowling hingga Harry Styles: Siapakah pembayar cukai terbesar di UK?

LONDON - JK Rowling, Mohamed Salah dan Harry Styles merupakan antara 100 pembayar cukai terbesar di United Kingdom (UK), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menurut Senarai Cukai tahunan Sunday Times, kedudukan teratas buat pertama kalinya dikuasai oleh pasangan adik-beradik jutawan yang juga pemilik syarikat gergasi perjudian Betfred, mengatasi ahli muzik, usahawan dan bintang sukan.
Fred dan Peter Done, yang mengasaskan perniagaan berpangkalan di Warrington itu pada 1967, dianggarkan menyumbang cukai sebanyak £400.1 juta (AS$548 juta) sepanjang tahun lalu, menurut senarai tersebut.
Ia berlaku selepas bil cukai mereka melonjak hampir separuh daripada £273.4 juta pada tahun sebelumnya.
Senarai itu menunjukkan bahawa 100 pembayar cukai teratas membayar jumlah cukai sebanyak £5.758 bilion, meningkat daripada £4.985 bilion setahun sebelumnya.
Ramai individu dalam senarai itu, termasuk adik-beradik Done, membayar cukai lebih tinggi susulan perubahan kadar cukai korporat dan cukai lain oleh kerajaan Buruh dalam usaha menyokong perbelanjaan kebajikan yang lebih tinggi.
Robert Watts, yang menyusun senarai itu berkata: "Ini adalah senarai yang semakin pelbagai, dengan pemain bola sepak Liga Perdana dan bintang pop terkenal dunia berada sebaris dengan golongan bangsawan serta pemilik perniagaan yang menjual pai, bantal dan susu bayi.
"Tahun ini terdapat lonjakan besar dalam jumlah cukai yang kami kenal pasti - sebahagian besarnya disebabkan oleh kadar cukai korporat yang lebih tinggi.”
Usahawan dagangan kewangan Alex Gerko berada di tempat kedua dalam senarai dengan cukai £331.4 juta, diikuti oleh bos dana lindung nilai Chris Rokos yang membayar £330 juta.
Di samping itu, bekas ahli One Direction yang kini menjadi artis solo, Styles, merupakan antara muka baharu dalam senarai dengan membayar cukai sebanyak £24.7 juta.
Dua pemain bola sepak turut menyertai senarai itu buat kali pertama, dengan pemain Manchester City, Erling Haaland berada di kedudukan ke-72 dengan anggaran bayaran cukai £16.9 juta manakala Mohamed Salah dari Liverpool dipercayai mempunyai bil cukai sebanyak £14.5 juta.
Tokoh terkenal lain dalam senarai termasuk pengarang Harry Potter, Rowling, di kedudukan ke-36 dengan bil £47.5 juta, dan ahli muzik Ed Sheeran, di kedudukan ke-64 dengan bayaran cukai £19.9 juta.
Enam pembayar cukai kekal dalam senarai tersebut walaupun telah meninggalkan United Kingdom sepanjang tahun lalu, di tengah-tengah laporan mengenai individu kaya yang berpindah bagi mengelak cukai lebih tinggi di bawah kerajaan Buruh atau disebabkan pemansuhan status cukai khas untuk penduduk tetap yang berasal dari luar negara.
Ini termasuk pengasas Revolut, Nik Storonsky, pengasas Wren Kitchens Malcolm Healey dan penganjur sukan Eddie Hearn.
Watts berkata: "Satu daripada sembilan orang dalam senarai cukai ini tidak lagi disenaraikan sebagai pemastautin di UK, sebaliknya memilih untuk tinggal di Maghribi, Dubai, Switzerland, Cyprus, Portugal, Amerika Syarikat dan Kepulauan Channel.
"Jelas sekali pembayar cukai yang berpindah ke luar negara masih menyumbang jumlah yang besar kepada HM Treasury melalui perniagaan mereka, namun Canselor Perbendaharaan pasti boleh mengumpul lebih banyak wang daripada individu ini sekiranya mereka memilih untuk kekal dan bertanggungjawab terhadap cukai peribadi di sini.” - Bernama
Ringkasan AI
- JK Rowling, Mohamed Salah, dan Harry Styles antara 100 pembayar cukai terbesar di UK
- Pasangan adik-beradik jutawan pemilik Betfred, Fred dan Peter Done, di puncak senarai dengan cukai £400.1 juta
- Senarai menunjukkan 100 pembayar cukai teratas membayar cukai sebanyak £5.758 bilion, meningkat dari tahun sebelumnya
- Usahawan Alex Gerko dan bos dana lindung nilai Chris Rokos berada di kedudukan kedua dan ketiga
- Enam pembayar cukai kekal dalam senarai meskipun telah meninggalkan UK, termasuk pengasas Revolut, Nik Storonsky
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
